Pilihan pelitup muka di sekolah AS

PIHAK sekolah di Amerika Syarikat dinasihatkan mematuhi garis panduan kesihatan awam berhubung pemakaian pelitup muka tetapi pada masa yang sama sekolah di negeri masing-masing mempunyai hak dalam melaksanakan peraturan berkaitan.

Setiausaha Akhbar White House Jen Psaki mengeluarkan kenyataan itu susulan pengumuman Gabenor New Jersey bahawa mandat pelitup muka di semua sekolah di negeri itu ditarik balik awal bulan depan.

Gabenor Phil Murphy pada Isnin berkata, pelaksanaan pemakaian pelitup muka di negeri itu akan berakhir pada 7 Mac tetapi sekolah di peringkat daerah masih boleh melaksanakannya jika mahu.

“Apa yang berlaku di New Jersey dan beberapa negeri lain ialah, mereka menarik balik keperluan itu.

Mereka tidak menyukarkan sekolah, pentadbir sekolah, pegawai tempatan, tetapi mahu memastikan sekolah mereka selamat.

“Sekali lagi, nasihat kami kepada setiap sekolah di semua negeri ialah, patuhi garis panduan kesihatan awam, “ kata Psaki.

Menurut Psaki, ketika ini, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) berpandangan, pelitup muka boleh melambatkan, mengurangkan penularan.

“Terdapat juga beberapa langkah mitigasi lain yang telah kami ambil, tetapi ia tetap mengikut panduan CDC.

“Ia sentiasa terpulang kepada sekolah tempatan untuk menentukan cara mereka melaksanakannya,” kata Psaki.

Murphy menghadapi tekanan daripada Republikan dan beberapa ibu bapa yang mengadakan perhimpunan di White House, menuntut mandat itu ditamatkan.

Tetapi, beliau menerima sokongan berhubung pemakaian pelitup muka sehingga kini, dari Persatuan Pendidikan New Jersey, kesatuan guru terbesar di negeri itu.

Murphy membuat pengumuman berkenaan sebagai langkah besar ke arah kembali normal sebaik lonjakan varian Omicron semakin berkurangan.

“Kita tidak akan dapat menurunkan kes kepada sifar. Kita perlu belajar hidup bersama Covid-19 semasa kita beralih daripada pandemik kepada fasa endemik.

“Yang pasti, kita telah lama mengetahui perkara ini dan optimis memandangkan penurunan tahap varian baharu ini dan peningkatan berterusan dalam vaksinasi, akhirnya kami menghampiri titik perubahan ini,” katanya.

Menurut Murphy, tindakan diambil  bersandarkan kepada jangkitan wabak itu.

“Mandat topeng telah menjadi sebahagian daripada pendekatan untuk memastikan sekolah kita tetap terbuka dengan selamat kerana kita tahu bahawa pembelajaran jarak jauh tidak mencukupi untuk pembelajaran seseorang pelajar.

“Kita telah mencuba, seperti yang telah dikatakan berkali-kali, bertindak mengikut situasi semasa dengan tidak meremehkannya, meletakkan nyawa dalam risiko atau mengatasinya, hanya menambah kesihatan mental dan tekanan yang kita tahu wujud,” kata Murphy.

Bagaimanapun, sekolah-sekolah persendirian bebas untuk meneruskan pemakaian pelitup muka.

New Jersey adalah salah satu daripada 12 negeri yang mengadakan mandat pelitup muka di sekolah.

Menurut akademi kebangsaan untuk dasar kesihatan negeri, peraturan di New Jersey telah dilaksanakan sejak kelas bersemuka disambung semula pada September 2020.

Related posts

Leave a Comment