Sembilan kematian baharu

PUTRAJAYA 7 Feb. – Kementerian Kesihatan melaporkan sembilan kematian baharu akibat jangkitan Covid-19 setakat tengah malam tadi menjadikan jumlah keseluruhan 32,034 orang, daripada 2.9 juta kes positif yang dikesan di negara ini.

Empat kematian dilaporkan di Johor, satu direkodkan masing-masing di Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Pulau Pinang dan Terengganu manakala dua kes kematian dilaporkan berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).

Menurut data di portal COVIDNOW, kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu.

Ini berikutan proses pengesahan sama ada pesakit Covid-19 meninggal dunia akibat pandemik tersebut mengambil masa.

Sementara itu, terdapat 69,572 kes aktif Covid-19 di seluruh negara dan daripada jumlah itu, 60,999 individu atau 87.7 peratus sedang menjalani kuarantin di rumah.

Seramai 4,474 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), 3,962 kes dirawat di hospital dan 123 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Kes ICU membabitkan 66 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 71 lagi memerlukan mesin ventilator.

Related posts

Leave a Comment