Dr Wan Junaidi Speaker Dewan Negara

KUALA LUMPUR 19 Jun –  Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ke-19 menggantikan Rais Yatim yang tamat perkhidmatan baru-baru ini.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), itu adalah calon tunggal yang dikemukakan untuk memegang jawatan itu.

Usul pencalonan Wan Junaidi dikemukakan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengikut Peraturan Mesyuarat 4(1), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Terdahulu, Wan Junaidi mengangkat sumpah sebagai Senator di Dewan Negara, bersama dua yang lain iaitu Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Nur Jazlan Mohamed dan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Dr Mujahid Yusof.

Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai, turut dipilih sebagai Timbalan Speaker Dewan Negara selepas mendapat 43 undi dalam pengundian lantikan jawatan itu.

Turut dicalonkan jawatan itu, Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris yang dicadangkan Presiden Gerakan, Dominic Lau. Bagaimanapun Razali tewas  selepas mendapat hanya 11 undi.

Wan Junaidi, 78, sebelum ini dilaporkan berkata, sebagai rakyat yang cintakan negara, sukar baginya untuk menolak tawaran itu kerana ia satu amanah dan tanggungjawab kepada negara.

Katanya , selepas menolak untuk dicalonkan semula pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, beliau bertekad untuk bersara sepenuhnya.

Wan Junaidi menggantikan Rais Yatim yang dilantik sebagai Speaker Dewan Negara sejak 18 Jun 2020 dan tamat perkhidmatan pada 16 Jun lalu.

Wan Junaidi berkata, beliau bersedia memikul tanggungjawab itu, berbekalkan pengalaman luasnya termasuk sebagai pegawai kanan polis, peguam, wakil rakyat, Menteri dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Wan Junaidi diberi kepercayaan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) mulai 30 Ogos 2021 hingga 24 November 2022.

Sebelum itu, beliau pernah menjadi Timbalan Speaker Dewan Rakyat mulai 28 April 2008 hingga 3 April 2013.

Katanya, pengalaman sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat memberikannya keyakinan untuk menjadi Speaker Dewan Negara.

Related posts

Leave a Comment