Kematian di AS lepasi 900,000

NEW YORK: Angka kematian akibat jangkitan Covid-19 di Amerika Syarikat melepasi jumlah 900,000 orang kelmarin, menandakan peningkatan lebih 100,000 mangsa Covid-19 sejak 12 Disember lalu.

Bukti awal menunjukkan bahawa kesan Omicron, walaupun lebih mudah menjangkit, tidak seteruk varian terdahulu, seperti Delta.

Namun, jumlah kes yang banyak disebabkan kes Omicron, ditambah dengan lonjakan kemasukan ke hospital, memberi tekanan buruk ke atas sistem penjagaan kesihatan Amerika sehingga mencapai had dalam tempoh beberapa minggu lalu.

Menurut pakar  sebahagian besar pesakit Omicron yang perlu dirawat di hospital adalah individu yang tidak divaksinasi dan mereka yang menghidap penyakit kronik lain.

California mendahului kadar kematian akibat Covid-19 dengan 80,798 orang, Texas merekodkan kadar kematian kedua tertinggi iaitu 80,459 korban diikuti Florida dengan 65,993 dan New York dengan 65,578 kes.

Amerika kekal sebagai negara paling teruk terjejas dilanda wabak itu dengan jumlah kes dan angka kematian tertinggi di dunia, menyumbang hampir 20 peratus daripada kes global dan lebih 15 peratus kematian global.

Related posts

Leave a Comment