10,390 kes baharu di Singapura

SINGAPURA 5 Feb. – Kementerian Kesihatan (MoH) melaporkan 10,390 kes baharu Covid-19 di Singapura setakat pukul 12 tengah hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 390,071 kes.

Daripada jumlah kes baharu itu, 10,208 adalah jangkitan tempatan dan 182 lagi kes import manakala dua kematian dilaporkan yang membawa kepada 868 orang meninggal dunia.

Kes harian itu kurang berbanding 13,208 kes baharu di Singapura setakat 12 tengah hari semalam yang terdiri daripada 13,046 jangkitan tempatan dan 162 kes import.

Menurut DoH, jumlah kes baharu Protokol 2 adalah 7,505, terdiri daripada 31 kes import dan 7,474 jangkitan tempatan.

Protokol 2 adalah pesakit yang sihat tetapi diuji positif ART atau dinilai oleh doktor sebagai mengalami gejala ringan dan berisiko rendah.

Sebanyak 2,885 kes disahkan menerusi ujian PCR iaitu 2,734 adalah jangkitan tempatan manakala 151 adalah kes import.

Sementara itu kadar pertumbuhan jangkitan mingguan pula adalah 1.44, naik daripada 1.39 pada Jumaat. Kadar itu merujuk kepada nisbah kes dalam masyarakat pada minggu lalu berbanding minggu sebelumnya.

Kadar melebihi 1 menunjukkan jumlah kes mingguan baharu Covid-19 masih meningkat.

Seramai 1,068 pesakit masih dirawat di hospital, berbanding 998 semalam dan 86 memerlukan bantuan oksigen di wad biasa, 23 dipantau rapi di ICU manakala 2,444 pesakit dibenarkan keluar hospital.

Mengenai vaksinasi, sebanyak 92 peratus penduduk Singapura yang layak sudah melengkapkan vaksinasi mereka di bawah program vaksinasi nasional.

Secara keseluruhan, sebanyak 89 peratus lengkap divaksin dua dos,  91 peratus

menerima satu dos dan 59 peratus disuntik dos penggalak.

Related posts

Leave a Comment