Tiada masalah pertikai lantikan Zahid – PM

PUTRAJAYA 5 Dis. –  Perdana Menteri,  Anwar Ibrahim tidak mempunyai masalah untuk mana-mana pihak mempertikaikan pelantikan Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri kerana tindakan itu adalah hak peribadi masing-masing.

Bagaimanapun Anwar  menjelaskan mengapa beliau melantik Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu sebagai timbalannya dalam Kabinet biarpun Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sedang menjalani perbicaraan kes di mahkamah.

Katanya, pelantikan Ahmad Zahid dibuat berdasarkan beberapa faktor, termasuk  kapasiti sebagai Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN.

“Dalam keadaan Kerajaan Perpaduan ini, saya perlu mengambil kira semua faktor ini (Ahmad Zahid Presiden UMNO dan Pengerusi BN). Dia didakwa, belum ada hukuman dan proses ini kita harus hormati.

“Namun, yang saya musykil dan ini bukan saya suarakan sekarang, tetapi secara konsisten sejak beberapa tahun lalu, orang yang menjerit soal rasuah itu dia harus bersih. Dia tidak boleh jerit rasuah, tetapi ambil projek ratusan juta ringgit, tak boleh,” katanya.

Anwar berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat khas Kabinet Kerajaan Perpaduan di sini, hari ini yang turut disertai Ahmad Zahid dan seorang lagi Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof.

Sebelum ini Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) merangkap Presiden PKR menyifatkan mana-mana individu hanya didapati bersalah apabila selesai dijatuhi hukuman.

Kenyataan itu sebagai reaksi terhadap desakan beberapa pihak, termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin politik yang tidak mahu Ahli Parlimen Tambung itu melantik melantik barisan Kabinet yang mempunyai kes di mahkamah.

Dalam kalangan mereka, ada yang berpendapat gerakan politik sedemikian boleh menimbulkan keraguan terhadap integriti kerajaan Anwar dan mencemarkan reputasi negara.

Ahmad Zahid kini berdepan 47 pertuduhan di Mahkamah Tinggi, iaitu 12 kes pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Beliau bagaimanapun dibebaskan daripada 40 tuduhan rasuah berkait Sistem Visa Luar Negara (VLN) pada 23 September lalu, namun pihak pendakwaan telah mengemukakan rayuan untuk kes terbabit.

Perdana Menteri turut mengulangi gesaan supaya semua ahli politik, termasuk Pengerusi Perikatan Nasional (PN),  Muhyiddin Yassin mengisytiharkan harta dan aset masing-masing.

“Apabila saya dicabar ketika berkempen (Pilihan Raya Umum Ke-15) dulu, saya kata sama-samalah kita isytihar (harta). Saya sanggup isytihar harta dalam dan luar negeri.

“Saya juga mahu setiap orang (politik), termasuk Ketua PN (Muhyiddin) isytihar hartanya di Malaysia, Australia dan beberapa negara lain, tetapi (setakat ini) tiada jawapan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment