KJ daftar anak dapat vaksin

KUALA LUMPUR 3 Feb. – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengesahkan sudah mendaftarkan anaknya yang berusia enam tahun untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 menerusi tempahan di aplikasi MySejahtera.

“Semalam saya sendiri sudah pilih tempahan untuk anak saya,” katanya pada Majlis Pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) di Hospital Tunku Azizah hari ini.

Penjelasan itu sebagai menjawab dakwaan segelintir pihak yang mendakwa beliau dan anaknya tidak menerima suntikan vaksin Covid-19.

Beliau berkata proses pendaftaran PICKids melalui aplikasi MySejahtera disambut baik apabila ibu bapa mula mendaftar.

“Kali ini kita nak mudahkan ibu bapa untuk pilih masa jadi kami berikan mereka pilihan dan mereka sangat berterima kasih diberi kebebasan pilihan masa, tarikh dan tempat vaksinasi,” kata Khairy.

Katanya, keutamaan untuk pemberian vaksin pada permulaan program tersebut adalah kepada kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan kerana mereka lebih berisiko untuk dijangkiti Covid-19.

“Hari ini kita juga memulakan pemberian vaksin di PPV Integrasi lain seperti di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur dan Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur,” katanya.

Pemberian vaksin untuk kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun bermula secara rasminya hari ini dengan tumpuan di Lembah Klang dan akan dilaksanakan melalui hospital bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan.

Bagi penerima yang tiada masalah perubatan akan diberikan suntikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi.

Sementara itu pada sidang media, Khairy berkata, pemberian vaksin di bawah PICKids akan dilakukan secara sukarela dan tiada sekatan akan dikenakan untuk kanak-kanak tidak divaksinasi.

Langkah itu katanya bagi membina keyakinan ibu bapa kerana pihaknya sedar masih terdapat ramai ibu bapa yang mengambil pendekatan tunggu dan lihat sebelum berdaftar untuk PICKids. 

“Setakat tempahan janji temu dibuka semalam, 15 peratus telah berdaftar. PICKids adalah secara sukarela, untuk memberi masa kepada ibu bapa untuk membuat keputusan yang tepat. 

“Saya tahu ramai ibu bapa masih bimbang. Tapi tidak mengapa, kita akan terus berikan maklumat terkini kepada mereka,” katanya. 

Beliau juga memberitahu, sela masa lapan minggu antara dos pertama dan kedua yang diperuntukkan dalam pemberian vaksin kanak-kanak dibuat bersandarkan asas tertentu.

Beliau mengakui bahawa beberapa negara lain di dunia memperuntukkan sela masa pemberian dos primer yang lebih singkat kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

Bagaimanapun, katanya, Malaysia menetapkan sela masa lapan minggu selepas meneliti data pelbagai negara, selain bersandarkan dua asas tertentu.

“Asas yang digunakan di sebalik penentuan lapan minggu ini ialah untuk mengurangkan risiko kesan sampingan selepas imunisasi, sekali gus menambah keyakinan orang ramai khususnya ibu bapa.

“Selain itu, kita buat ketetapan sela masa lebih panjang kerana mahu kesan perlindungan imunisasi yang lebih baik dan berkesan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment