Mazlan terasa hati dengan Muhyiddin

JOHOR BAHRU 27 Jan. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Mazlan Bujang yang keluar Bersatu hari ini ‘terasa hati’ dengan tindak tanduk Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin.

Mazlan mendakwa, Muhyiddin tidak pernah hadir atau menghantar wakil dalam mesyuarat pimpinan negeri ketika beliau menjadi Pengerusi Bersatu Johor.

“Selama saya dilantik sebagai Pengerusi Bersatu negeri dengan surat lantikan Muhyiddin sendiri, saya diboikot dan tak pernah Bersatu Bahagian Pagoh hantar wakil dalam mesyuarat pimpinan negeri.

“Namun apabila jawatannya diambil Muhyiddin, perlu ke saya hadir untuk menghormatinya sedangkan beliau tak pernah hormati saya,” katanya.

Mazlan mengulas kenyataan Ketua Penerangan Bersatu Johor, Mohd Solihan Badri, yang mendakwa pemimpin itu tidak pernah hadir ke Mesyuarat Ketua Bahagian Bersatu Johor.

“Perlantikan saya beliau sendiri yang tandatangani tapi kenapa perlu boikot, namun bila saya hanya Ketua Bahagian Tebrau, saya ‘gentleman’, saya hantar Timbalan serta Setiausaha bahagian sebagai wakil untuk tahu apa perkembangan dalam Bersatu.

“Mengapa pula ketidakhadiran saya pula dijadikan alasan pula,” katanya pada sidang media khas di Kompleks Yayasan Warisan Johor, hari ini.

Pada 8 September 2020, Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin mengumumkan beberapa lantikan baharu yang diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu termasuk Muhyiddin yang dilantik sebagai Pengerusi Bersatu Johor, menggantikan Mazlan yang dilantik pada 25 Mei 2019.

Dalam pada itu, Mazlan berkata, beliau akan menghantar surat perletakan jawatan sebagai Ketua Bahagian Tebrau dan ahli BERSATU dalam masa terdekat.

Mazlan turut tidak menafikan menerima beberapa tawaran menyertai parti politik lain namun menegaskan hubungannya dengan rakan dalam BERSATU serta Pakatan Harapan (PH) tetap baik.

Related posts

Leave a Comment