Risiko varian Omicron kekal tinggi

GENEVA: Tahap risiko berkaitan varian Omicron kekal tinggi dengan jumlah kes baharu Covid-19 mencecah satu lagi rekod tertinggi minggu lalu, demikian laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)

Menurut data koronavirus epidemiologi mingguan WHO, lebih 21 juta kes baharu dilaporkan, mewakili jumlah kes mingguan tertinggi direkodkan sejak permulaan wabak itu.

Jumlah jangkitan baharu meningkat lima peratus dalam tempoh minggu ini, berbanding kenaikan 20 peratus yang dicatatkan minggu sebelumnya.

Peningkatan lebih perlahan dalam insiden kes diperhatikan di peringkat global dan hampir 50,000 kematian baharu juga dilaporkan, iaitu angka yang sama dengan minggu sebelumnya.

Laporan itu berkata, Omicron terus meningkatkan jangkitannya secara global berbanding varian lain yang menjadi kebimbangan.

Epidemiologi global semasa SARS-CoV-2 dicirikan oleh jangkitan varian Omicron pada skala global, penurunan berterusan dalam kelaziman varian Delta dan peredaran tahap yang sangat rendah bagi varian Alpha, Beta dan Gamma.

Sementara itu, negara yang mengalami peningkatan pesat dalam kes Omicron pada November dan Disember 2021 sudah atau mula mengalami penurunan dalam kes.

Bagaimanapun, berdasarkan bukti yang ada pada masa ini, risiko keseluruhan yang berkaitan Omicron kekal sangat tinggi.

Menurut WHO, daripada sampel yang dikumpul dalam tempoh 30 hari terakhir yang disusun dan dimuat naik ke inisiatif sains global GISAID, Omicron menyumbang sebanyak 89.1 peratus.

Delta sebelum ini yang menjadi varian dominan dunia, kini membentuk 10.7 peratus.

Related posts

Leave a Comment