Tedros dijangka terajui WHO penggal kedua

DR. TEDROS Adhanom Ghebreyesus dijangka meneraju Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk penggal kedua selepas menjadi calon tunggal bagi jawatan Ketua Pengarah badan kesihatan sedunia itu pada pemilihan Mei ini.

Tedros, yang juga pemimpin dari Afrika pertama menjawat jawatan itu, berterima kasih atas sokongan orang ramai selepas Lembaga Eksekutif WHO mengadakan undian rahsia yang meluluskan pencalonannya itu pada Selasa, semalam.

Saya kehilangan kata-kata,” katanya yang kelihatan terharu selepas hampir semua 34 ahli lembaga yang mewakili seluruh dunia menyokong beliau.

Bekas Menteri Kesihatan dan Hal Ehwal Luar Habsyah itu dijangka dipilih semula apabila 194 negara anggota WHO mengundi nanti.

Tedros, yang merupakan salah seorang tokoh yang paling dikenali dalam perjuangan global menentang Covid-19, mengakui bahawa penggal lima tahun pertamanya adalah mencabar dan sukar namun ia satu penghormatan besar buatnya.

Sejak Covid-19 muncul dua tahun lalu, pakar malaria yang berusia 56 tahun itu menerima banyak pujian atas cara beliau mengemudi WHO.

Dr Tedros dipilih sebagai Ketua Pengarah WHO pada Perhimpunan Kesihatan Sedunia Ke-70 pada Mei 2017.

Dilahirkan di bandar Asmara, Eritrea, Dr Tedros lulus dari Universiti Asmara dengan Ijazah Sarjana Muda Biologi, sebelum memperoleh Ijazah Sarjana Sains (MSc) dalam Imunologi Penyakit Berjangkit dari Universiti London, Ijazah Kedoktoran Falsafah (PhD) dalam Kesihatan Komuniti dari Universiti Nottingham dan Fellowship Kehormat dari London School of Hygiene and Tropical Medicine.

Selepas pengajiannya, Dr Tedros kembali ke Ethiopia untuk menyokong penyampaian perkhidmatan kesihatan, bekerja sebagai pakar malariologi peringkat lapangan, sebelum mengetuai perkhidmatan kesihatan serantau dan kemudian berkhidmat dalam kerajaan persekutuan Ethiopia selama lebih sedekad sebagai Menteri Kesihatan dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.

Sebelum dipilih sebagai Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros memegang banyak jawatan kepimpinan dalam kesihatan global, termasuk Pengerusi Dana Global untuk Memerangi AIDS, Tuberkulosis dan Malaria, Pengerusi Roll Back Malaria Partnership, dan Pengerusi Bersama Perkongsian untuk Lembaga Kesihatan Ibu, Bayi Baru Lahir dan Anak.

Related posts

Leave a Comment