4,744 kes baharu di Malaysia

PUTRAJAYA 26 Jan. – Kementerian Kesihatan melaporkan sebanyak 4,744 kes positif baharu Covid-19 setakat tengah hari ini, meningkat berbanding 4,066 semalam menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan 2,844,969.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah berkenaan, 4,315 kes adalah penularan tempatan dengan 4,112 warganegara (95.3 peratus) dan 203 bukan warganegara (4.7 peratus).

Katanya, daripada 429 kes import, seramai 289 pesakit adalah rakyat tempatan dan 140 pesakit lagi terdiri daripada warga asing.

Daripada 4,744 kes harian yang dilaporkan hari ini sebanyak 30 kes (0.6 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; manakala 4,714 kes (99.4 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Sebanyak 129 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 72 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.

Kementerian Kesihatan turut mengesan 21 kluster baharu jangkitan Covid-19 hari ini, menjadikan sebanyak 6,349 kluster dikesan setakat ini, dengan 6,090 kluster sudah ditamatkan dan 259 kluster masih aktif.

Sementara itu, sebanyak 3,646 kes sembuh turut dilaporkan hari ini, menjadikan keseluruhan 2,766,254 atau 97.2 peratus daripada keseluruhan kes positif yang direkodkan setakat ini.

Related posts

Leave a Comment