Gelombang varian Omicron bermula

PUTRAJAYA 26 Jan. – Gelombang penularan varian Omicron sudah bermula di negara ini dan dijangka menyebabkan jumlah kes Covid-19 akan meningkat, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Katanya, ketika ini gelombang jangkitan virus itu terkawal kerana kadar vaksinasi di negara ini adalah tinggi.

Beliau meminta kerjasama masyarakat untuk bersama-sama menyertai usaha Kementerian Kesihatan mengatasi gelombang penularan terbabit dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahannya seperti memakai pelitup muka dan menjalani ujian saringan.

“Sistem kesihatan sudah bersiap siaga. Kes serius semakin kurang. Sama-sama kita mengatasi gelombang ini. Mask (pelitup muka).

#TRIIS (uji, lapor, asing, maklum dan cari). Booster (penggalak). #PICKids (vaksin kanak-kanak),” katanya menerusi ciapan di Twitter, hari ini, sambil merujuk program vaksinasi dos penggalak yang sedang dilaksanakan kerajaan dan vaksinasi untuk kanak-kanak.

Beliau membuat ciapan itu ketika membalas ciapan, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, mengenai jumlah terkini kes positif baharu Covid-19 setakat tengah hari ini.

Related posts

Leave a Comment