PRN: SPR mesyuarat 9 Februari

PUTRAJAYA 24 Jan. – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 9 Februari depan bagi menentukan tarikh penting seperti hari penamaan calon, mengundi awal dan mengundi biasa bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Setiausaha SPR, Ikmalrudin Ishak, berkata mesyuarat akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Abdul Ghani Salleh itu antara lain membincangkan tarikh bagi writ pilihan raya dan daftar pemilih yang akan digunakan serta persiapan lain bagi mendepani PRN berkenaan.

“Berdasarkan Fasal (4) Perkara 23 Bahagian Kedua, Undang-Undang Johor, Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 berkehendakkan suatu pilihan raya umum diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN berkenaan.

“Satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat khas itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, SPR secara rasmi sudah menerima notis daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berhubung pembubaran DUN Johor penggal yang ke-14 semalam, sebagaimana termaktub di bawah Fasal (2) Perkara 23 Bahagian Kedua, Undang-Undang Johor, Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895.

Sabtu lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor bagi memberi laluan kepada PRN.

Pada hari sama, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad jam 5 petang di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

Minggu lalu, Hasni memberi jaminan sistem penyampaian kerajaan negeri tidak akan terganggu sekiranya PRN diadakan di negeri itu dan jentera kerajaan akan terus berfungsi sepanjang tempoh berkenaan.

Related posts

Leave a Comment