Peluang 750,000 pengundi muda

KUALA LUMPUR 24 Jan. – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dijangka memberi peluang kepada 750,000 pengundi baharu termasuk antara berusia 18 hingga 20 tahun mengundi.

Persatuan Pengundi Muda (UNDI18) dalam kenyataannya hari ini, menjelaskan PRN Johor yang pertama membenarkan pemilih muda menjadi pengundi selepas diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 14 Januari lalu.

“Pelaksanaan UNDI18 di Johor menandakan penambahan hampir 750,000 pengundi baharu, termasuk 175,000 pengundi bawah 21 tahun. Ini adalah penambahan hampir 30 peratus kepada jumlah pengundi di Johor sedia ada.

“Dengan adanya pendaftaran pemilih automatik, pemilih yang layak tidak perlu lagi mendaftar sebagai pemilih tetapi sebaliknya hanya perlu melakukan semakan pemilih melalui portal mysprsemak.spr.gov.my untuk menyemak status kawasan lokaliti tempat pengundian mereka,” kata kenyataan hari ini.

UNDI18 menyeru semua belia di Johor yang mencapai usia 18 tahun dan ke atas untuk mengambil peluang ini melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi pada PRN Johor akan datang.

Katanya, UNDI18 juga turut mengharapkan pembabitan yang lebih ramai anak muda sebagai calon dalam PRN Johor.

Parti politik yang bertanding juga disaran menampilkan calon yang baharu, khususnya dalam kalangan anak muda, untuk terlibat dalam penggubalan dasar kerajaan negeri memandangkan golongan ini memegang peratus besar sebagai pengundi dalam pilihan raya kali ini.

Setakat ini, senarai daftar pemilih yang akan digunakan dalam PRN Johor kelak belum dimuktamadkan, dengan SPR akan mengumumkan mengenainya selepas mesyuarat khas mereka pada 9 Februari depan.

Related posts

Leave a Comment