Pengimbas suhu akan ‘digugurkan’

KUALA LUMPUR 20 Jan. – Syarat masuk premis dengan mengimbas suhu akan ‘digugurkan’ daripada senarai prosedur operasi standard (SOP) kawalan Covid-19 di seluruh negara tidak lama lagi.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, Kementerian Kesihatan bersetuju hanya imbasan kod MySejahtera diperlukan setiap kali memasuki mana-mana premis.

“Kita akan bawa usaha penambahbaikan SOP ini ke mesyuarat MKN (Majlis Keselamatan Negara), selepas dipinda pada sesi (mesyuarat) kuartet (menteri Covid-19) akan datang, ia (pengimbas suhu) tidak lagi diwajibkan,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Ketika ini, setiap premis perlu menyediakan pengimbas suhu bagi mengimbas suhu setiap orang yang memasuki mana-mana premis.

Sementara itu, Khairy turut mengumumkan tempoh kuarantin bagi pengembara yang telah menerima dos penggalak adalah selama lima hari berbanding tujuh hari sebelum ini, berkuat kuasa 24 Januari.

Beliau berkata pengembara perlu menjalani ujian RT-PCR dijalankan dua hari sebelum berlepas dengan keputusan negatif Covid-19.

Related posts

Leave a Comment