Istiadat Nikah Diraja Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN 20 Jan. – Puteri kedua bongsu Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah bersama Puan Mariam, Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah selamat melangsungkan pernikahan dengan Awang Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi petang ini.

Majlis Istiadat Nikah Diraja Brunei itu berlangsung di Masjid Omar Ali Saifuddien, yang turut disiarkan secara langsung di Radio Televisyen Brunei (RTB) melalui platform digital dan elektronik.

Dengan sekali lafaz, Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah sah bergelar isteri kepada Awang Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi

Majlis Istiadat Perkahwinan Diraja Brunei itu berlangsung selama 10 hari dengan dimulai Majlis Istiadat Bersuruh Diraja pada Ahad lalu di Istana Nurul Iman.

Pasangan mempelai diraja itu ditunangkan pada Selasa lalu, dalam Majlis Istiadat Menerima Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja.

Selepas majlis akad nikah, ia akan diteruskan dengan istiadat bersanding pengantin diraja di Balai Singgahsana Indera Buana, Istana Nurul Iman pada Ahad ini.

Ia kemudian diteruskan dengan Majlis Persantapan Diraja dan Majlis Istiadat Membaca Doa Selamat dan Menutup Gendang Jaga-jaga di Darussidiq, Jerudong.

Majlis diakhiri pada Selasa depan dengan Istiadat Membaca Doa Selamat dan Menutup Gendang Jaga-jaga di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan.

Related posts

Leave a Comment