Kes harian di Malaysia 3,229

PUTRAJAYA 19 Jan. – Kes jangkitan harian Covid-19 kekal dengan angka 3,000 selepas mencatatkan 3,229 kes baharu setakat pukul 12 tengah hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Jumlah itu menunjukkan sedikit penurunan berbanding 3,245 kes yang dilaporkan semalam.

Menurut Dr Noor Hisham, dengan perkembangan ini jumlah keseluruhan kes jangkitan akibat virus berkenaan meningkat kepada 2,817,163 kes.

Sejak 11 Januari lalu, jumlah kes harian yang direkodkan adalah melebihi 3,000 kecuali pada 17 Januari merekodkan 2,342 kes.

Daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 239 adalah kes import yang melibatkan 175 warganegara dan 64 bukan warganegara manakala daripada 2,990 kes tempatan, sebanyak 2,899 adalah warganegara dan 91 bukan warganegara.

Sebanyak 2,848 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan 2,744,203 kes.

Katanya, sebanyak 162 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu 133 kes disahkan Covid-19; 29 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan.

Kes memerlukan bantuan pernafasan: 76 kes (55 kes disahkan Covid-19; 21 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan).

Terdapat 6,255 kluster direkodkan di mana terdapat 20 kluster baharu, dan daripada jumlah yang ada, 201 masih aktif dan 6,054 kluster telah tamat.

Daripada 3,229 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, sebanyak 38 kes (1.2 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 3,191 kes (98.8 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Related posts

Leave a Comment