85,134 tan sisa banjir dibersih

MUAR 16 Jan. – Sebanyak 85,134 tan sisa banjir dibersihkan di enam negeri yang terjejas bencana itu, setakat semalam, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Dr Ismail Abd Muttalib.

Beliau berkata kerja pembersihan membabitkan negeri Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutan Kuala Lumpur dan Selangor telah mencapai 98 peratus, manakala Johor mencapai tahap 90 peratus.

Semalam  sahaja, sebanyak 438 tan sisa banjir dibersihkan membabitkan 112 jentera dan 354 pekerja di bawah seliaan SWCorp (SWM Environment Sdn Bhd, Alam Flora Sdn Bhd dan E-Idaman).

Sebanyak 48,589 tan sisa banjir dibersihkan di Selangor; 34,100 tan di Pahang; 1,400 tan di Negeri Sembilan; 630 tan di Kuala Lumpur, 139 tan di Melaka dan di Johor, sebanyak 275.63 tan.

Beliau memberitahu demikian ketika Operasi Mega Pembersihan Pascabanjir di Johor di Kampung Baru Lenga, dekat sini, hari ini.

Ismail berkata, ketika pascabanjir, kementeriannya telah membelanjakan sebanyak RM117.5 juta untuk pelbagai program pemulihan.

Antaranya pemulihan fasiliti awam membabitkan kos sebanyak RM50 juta dan Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia sebanyak RM50 juta bagi baik pulih rumah rosak dan bina rumah baharu.

Bagi kerja pembersihan sisa banjir membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT) pula, sebanyak RM12.5 juta diperuntukkan dan RM5 juta lagi adalah untuk Bantuan Bakul Bencana.

Related posts

Leave a Comment