Kes harian Malaysia naik sedikit

PUTRAJAYA 12 Jan. – Kementerian Kesihatan hari ini merekodkan sebanyak 3,198 kes positif baharu COVID-19, berbanding 3,175 semalam yang menyumbang kepada jumlah kumulatif 2,795,233 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada kes baharu itu, sebanyak 2,895 kes adalah penularan tempatan iaitu 2,753 kes atau 95.1 peratus adalah warganegara dan 142 atau 4.9 peratus, bukan warganegara.

Sebanyak 303 kes import juga direkodkan yang membabit 224 warganegara dan 79 warga asing.

Daripada 3,198 kes harian yang dilaporkan hari ini, 39 kes (1.2 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 3,159 kes (98.8 peratus) lagi kategori 1 dan 2.

Sebanyak 215 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 105 lagi memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata,  lapan kluster baharu jangkitan dikesan menjadikan 6,184 kluster setakat ini dengan 6,005 kluster sudah ditamatkan dan 179 masih aktif.

Pada masa yang sama, kementerian itu merekodkan 3,200 kes sembuh yang menyumbang kepada sejumlah 2,723,599 kes kumulatif atau 97.4 peratus kes yang pulih daripada jangkitan Covid-19.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, tiada kes positif baharu dilaporkan dalam kalangan mangsa banjir hari ini, sama ada yang berada di rumah mahupun yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) atau kluster jangkitan baharu.

Sebanyak 13 kes penyakit berjangkit yang dikesan dalam kalangan mangsa banjir hari ini, iaitu 12 Jangkitan Saluran Pernafasan Akut (ARI) dan satu kes Acute Gastroenteritis (AGE).

Related posts

Leave a Comment