Februari tarikh akhir suntik penggalak

ATHENS: Greece menetapkan Februari sebagai tarikh akhir untuk penduduk negara itu mendapatkan suntikan dos penggalak dan akan melarang penduduk tanpa dos penggalak daripada memasuki sebahagian besar tempat tertutup. 

Menteri Kesihatan Thanos Plevris berkata, mulai 1 Februari, mereka yang belum mendapatkan suntikan dos penggalak selepas tujuh bulan (dari tarikh suntikan dos kedua) akan disifatkan sebagai belum lengkap divaksin.

Sijil vaksinasi mereka akan kekal sah, kerana ia adalah sijil Eropah yang sah bagi tempoh selama sembilan bulan.

Bagaimanapun mereka tidak akan mendapat keistimewaan dan kelebihan untuk memasuki tempat-tempat tertutup dan melakukan kegiatan-kegiatan lain yang dibenarkan untuk para penduduk yang sudah lengkap divaksin.

Greece sedang bergelut untuk membendung penularan varian Omicron dan menggesa para penduduk yang belum divaksin supaya mendapatkan vaksinasi serta mengenakan sekatan selanjutnya terhadap mereka yang sudah divaksin. 

Sejak pertengahan November, penduduk yang tidak divaksin sebahagian besarnya dilarang daripada memasuki ruang-ruang tertutup, termasuk restoran, panggung wayang, muzium dan gimnasium, sekalipun jika mereka diuji negatif Covid-19. 

Sebelum malam Tahun Baharu , pemerintah Greece menguatkuasakan sekatan-sekatan baharu setelah jumlah kes harian meningkat selepas sambutan Krismas. 

Restoran-restoran dan pusat-pusat hiburan mesti ditutup pada tengah malam dan hanya enam orang dibenarkan duduk semeja, dengan muzik diharamkan sehingga 16 Januari.

Sebanyak 1,489,024 kes jangkitan dan 21,328 kematian berkaitan koronavirus dilaporkan di Greece sejak  pandemik mula melanda. 

Related posts

Leave a Comment