WASHINGTON – Pentadbiran Donald Trump bertegas bahawa, Amerika Syarikat (AS) tidak akan menyalurkan dana kerajaan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menerusi Gavi, Perikatan Vaksin.
Demikian menurut kenyataan bersama Jabatan Negara dan Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia (HHS).
Kenyataan itu dibuat ketika Washington mengumumkan pelepasan dana berjumlah AS$600 juta yang diluluskan Kongres untuk perikatan vaksin global berkenaan.
Trump pada tahun lepas mengarahkan Setiausaha HHS, Robert F. Kennedy Jr. dan Setiausaha Negara, Marco Rubio berunding dengan Gavi mengenai pelaksanaan beberapa pembaharuan sebagai syarat untuk menyambung semula sokongan AS.
Rundingan itu menghasilkan beberapa komitmen yang menurut pentadbiran berkenaan dapat meningkatkan “keselamatan vaksin” serta menyelaraskan pendekatan Gavi dengan prinsip “Gold Standard Science”.
Berdasarkan komitmen berkenaan, Jabatan Negara memaklumkan, keseluruhan dana AS$600 juta yang diluluskan Kongres bagi tahun fiskal 2025 dan 2026 akan disalurkan serta-merta.
Menurut kenyataan itu, Gavi bersetuju bekerjasama dengan lembaga pengarahnya dan negara rakan bagi menggantikan formulasi tertentu vaksin yang mengandungi merkuri dengan alternatif bebas merkuri.
Vaksin berkenaan termasuk vaksin meningokokal A, vaksin pentavalen DTP-Hib-HepB, vaksin pneumokokal dan vaksin hepatitis B.
Nnnn
