Lonjakan kes baharu di Thailand

BANGKOK 8 Jan.-  Thailand terus merekodkan peningkatan kes dengan 8,263 kes jangkitan Covid-19 baharu dan 14 kes kematian dalam tempoh 24 jam.

Menurut Kementerian Kesihatan Awam, angka kes baharu itu melonjak sebanyak 737 kes berbanding 7,526 kes pada hari sebelumnya.

Daripada jumlah itu, 7,802 kes adalah dalam kalangan populasi awam manakala 110 adalah dalam kalangan penghuni penjara.

Dengan perkembangan ini jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 2,261,039 dengan 21,813 kematian.

Sebanyak 2,865 pesakit dilaporkan sembuh yang membawa kepada jumlah keseluruhan 2,191,262 pesakit pulih.

Sejak pandemik bermula pada awal 2020, jumlah kumulatif kes Covid-19 di negara itu adalah sebanyak 2,261,039 kes, manakala pada gelombang ketiga merekodkan 2,232,176 kes.

Angka kematian adalah 21,719 semasa gelombang ketiga dan 21,813 jika dikira sejak pandemik bermula.

Sementara itu, Thailand akan menyambung tempoh penggantungan program bebas kuarantin dan bakal memperkenalkan beberapa sekatan baharu susulan lonjakan kes tersebut.

Menurut pasukan khas pengurusan Covid-19, pemohon baharu bagi skim ‘uji dan pergi’ bagi tujuan memasuki Thailand tidak akan diluluskan sehingga tarikh yang akan ditetapkan kemudian, demi mengawal penularan Covid-19.

Jurucakap pasukan itu, Taweesin Visanuyothin berkata, ini termasuk beberapa destinasi dalam skim pelancongan bersasar atau program ‘sandbox’ yang pernah diumumkan tahun lalu.

Bagaimanapun, pemohon yang sedia ada masih boleh memasuki Thailand tanpa kuarantin sehingga 15 Januari ini.

Related posts

Leave a Comment