Arab Saudi masih lepasi 3,000 kes

RIYADH 8 Jan. – Hari keempat, Arab Saudi terus merekodkan kes harian Covid-19 melebihi 3,000 hari ini iaitu sebanyak 3,068, jumlah yang menunjukkan pengurangan berbanding 3,575 semalam.

Menurut Kementerian Kesihatan Awam (MoH), dua orang meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan Covid-19 itu.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes yang direkodkan setakat ini adalah 575,293 dan 8,892 orang meninggal dunia.

MoH juga merekodkan 817 orang sembuh dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah kes pulih 545,771.

Sebanyak 134 kes aktif pula dalam keadaan kritikal.

Sementara itu di MAKKAH, berikutan penguatkuasaan semula langkah-langkah pencegahan dan berjaga-jaga di Masjidilharam, Penjaga Ehwal Dua Masjid Suci memperuntukkan 34 laluan di kawasan tawaf untuk jemaah umrah.

Pengarah Pentadbiran Perancangan Awam, Ayman Falamban, berkata semua persediaan sudah dilakukan bagi memudahkan jemaah dan untuk jemaah umrah melaksanakan ibadah mengikut masa-masa tertentu.

Antaranya termasuk menampal pelekat penjarakan sosial di kawasan solat bagi memastikan jemaah mematuhi piawai penjarakan sosial yang ditetapkan sambil mematuhi semua langkah pencegahan dan berjaga-jaga.

Katanya agensi itu komited untuk melaksanakan semua piawai keselamatan dan bermutu buat semua penziarah ke Masjidilharam dengan mengamalkan beberapa prosedur seperti penjarakan sosial selain memperuntukkan laluan tertentu.

Ia bertujuan menambah baik tahap perkhidmatan yang ditawarkan ketika musim umrah dan pada masa yang sama, menegaskan lagi betapa pentingnya jemaah mematuhi penjarakan sosial serta pemakaian pelitup muka.

Related posts

Leave a Comment