162,572 kes harian United Kingdom

UNITED Kingdom merekodkan jumlah kes harian Covid-19 tertinggi sebanyak 162,572 semalam (Sabtu) meningkat daripada 160,276 pada hari sebelumnya manakala 154 meninggal dunia berbanding 178 pada Jumaat.

Menurut data UK Summary, dalam tempoh tujuh hari lepas – 26 Disember hingga 1 Januari, sebanyak 1,092,499 kes positif direkodkan iaitu kenaikan 47.9 peratus berbanding tujuh hari sebelumnya.

Jumlah jangkitan harian yang disahkan di seluruh United Kingdom berulang kali memecahkan rekod pada bulan Disember apabila varian Omicron merebak dengan pantas.

Walau bagaimanapun, kemasukan ke hospital dan kematian kekal pada tahap yang lebih rendah berbanding semasa gelombang sebelumnya.

Scotland, Wales dan Ireland Utara masing-masing memperkenalkan sekatan seperti penutupan kelab malam, peraturan penjarakan fizikal di pub dan had bilangan orang yang dibenarkan berkumpul.

Bagaimanapun England, yang menyumbang lebih daripada 80 peratus penduduk UK, tidak mengenakan sebarang  sekatan.

Mengenai vaksinasi, setakat 31 Disember 2021, sebanyak 51,771,476 orang menerima dos pertama, 47,412,342 mendapat dos kedua dan 33,927,775 telah mendapat dos ketiga.

Related posts

Leave a Comment