10 kluster baharu, 421 aktif

KEMENTERIAN Kesihatan memaklumkan terdapat 10 kluster baharu yang dikenal pasti pada hari ini, 4 Februari yang melibatkan enam kluster berkaitan tempat kerja dan empat kluster komuniti .

Berikut adalah maklumat terkini berkaitan kluster-kluster di Malaysia sehingga 4 Februari 2021;

  • Jumlah kluster : 861 kluster;
  • Jumlah kluster baharu : 10 kluster;
  • Jumlah kluster yang telah tamat : 440 kluster (termasuk satu (1) kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Desa Setapak);
  • Jumlah kluster aktif : 421 kluster;
  • Jumlah kluster dengan pertambahan kes baharu pada hari ini : 90 kluster; dan
  • Kluster-kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Persiaran Perkilangan (362 kes), Kluster Industri Serkam (201 kes), dan Kluster Jalan Perindustrian (150 kes).

1. KLUSTER JALAN INDUSTRI RAWANG

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Gombak di Selangor.  Kes-kes bagi kluster ini dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 3 Februari 2021 hasil saringan bersasar sebuah kilang di Rawang Integrated Industrial Park. Sehingga 4 Februari 2021, sejumlah 156 individu disaring, di mana 23 kes dikesan positif.

2. KLUSTER JALAN GOMBAK

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Gombak, Sepang, Petaling, dan Hulu Langat di Selangor serta daerah Cheras di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-159587) dilaporkan positif Covid-19 pada 18 Januari 2021 hasil saringan individu bergejala. Kluster ini melibatkan pelajar-pelajar serta petugas kesihatan sebuah pusat pengajian tinggi di Jalan Gombak. Sehingga 4 Februari, sejumlah 1,110 individu disaring, di mana 41 kes dikesan positif.

3. KLUSTER JALAN JASMINE

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Hulu Selangor di Selangor. Kes-kes bagi kluster ini dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 2 Januari 2021 hasil saringan bersasar dua buah kilang di Jalan Jasmine, Kawasan Perindustrian Bukit Beruntung, Hulu Selangor. Sehingga 4 Februari 2021, sejumlah 1,664 individu disaring, di mana 61 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.

4. KLUSTER PARIT PENYENGAT

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Muar di Johor. Kes-kes bagi kluster ini dilaporkan positif Covid-19 pada 4 Februari  hasil saringan bersasar sebuah kilang di mana asrama pekerja-pekerja terletak di Lot Parit Penyengat Darat, Muar. Sehingga 4 Februari 2021, sejumlah 572 individu disaring, di mana 34 kes dikesan positif.

5. KLUSTER KAMPUNG LUKUT

Kluster komuniti ini melibatkan daerah Kota Tinggi di Johor. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-197256) dilaporkan positif Covid-19 pada 28 Januari 2021 hasil saringan individu bergejala. Nama kluster merujuk kepada lokaliti kediaman kes indeks iaitu di Kampung Lukut, Kota Tinggi. Sehingga 4 Februari 2021, sejumlah 33 individu disaring, di mana 15 kes dikesan positif.

6. KLUSTER JALAN JELUTONG

Kluster komuniti ini melibatkan daerah Kota Tinggi di Johor. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-193234) dilaporkan positif Covid-19 pada 27 Januari hasil saringan individu bergejala. Nama kluster merujuk kepada lokaliti tempat kerja kes indeks iaitu di Jalan Jelutong, Taman Desaru Utama, Bandar Penawar, Kota Tinggi. Sehingga 4 Februari 2021, sejumlah 54 individu disaring, di mana tujuh kes dikesan positif.

 7. KLUSTER JALAN PENGIRAN

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Matu di Sarawak. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-183185) dilaporkan positif Covid-19 pada 24 Januari 2021 hasil saringan individu bergejala. Kluster ini melibatkan kakitangan sebuah pusat pentadbiran awam di Jalan Pengiran, Matu. Sehingga 4 Februari 2021, sejumlah 113 individu disaring, di mana 20 kes dikesan positif.

8. KLUSTER PERMATA SATU

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Seremban di Negeri Sembilan. Kes-kes bagi kluster ini dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 23 Januari hasil saringan bersasar sebuah kilang di  Jalan Permata 1, Arab Malaysian Industrial Park, Nilai. Sehingga 4 Februari, sejumlah 532 individu disaring, di mana 31 kes dikesan positif.

9. KLUSTER RANTAU TANJUNG

Kluster komuniti ini melibatkan daerah Maran di Pahang. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-194017) dilaporkan positif Covid-19 pada 27 Januari 2021 hasil saringan individu bergejala. Kluster melibatkan sebuah majlis sosial yang dihadiri kes indeks pada 16 Januari 2021. Nama kluster merujuk lokaliti di mana kes-kes dilaporkan berlaku. Sehingga 4 Februari 2021, sejumlah 21 individu disaring, di mana 14 kes dikesan positif.

10. KLUSTER KAMPUNG PULAU JAWA

Kluster komuniti ini melibatkan daerah Pekan di Pahang. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-203751) dilaporkan positif Covid-19 pada 29 Januari 2021 hasil saringan individu bergejala. Nama kluster merujuk kepada lokaliti di mana kes-kes dalam kluster ini dilaporkan berlaku iaitu Kampung Pulau Jawa, Pekan. Sehingga 4 Februari 2021, sejumlah 37 individu disaring, di mana 16 kes dikesan positif.

Related posts

Leave a Comment