Optimis 2022 ‘kalahkan’ Covid-19

GENEVA: Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus,  optimis wabak Covid-19 akan ‘dikalahkan’ pada tahun ini dengan syarat semua negara bekerjasama untuk membendung penularannya.

Bagaimanapun beliau turut memberi amaran terhadap ‘nasionalisme sempit dan pembolotan bekalan vaksin’ oleh sesetengah negara.

Kenyataan tahun baharu 2022 itu dibuat dua tahun selepas WHO pertama kali dimaklumkan mengenai kes jangkitan radang paru-paru yang tidak diketahui di China.

Kes global Covid-19 kini mencecah 287 juta, manakala hampir 5.5 juta orang dilaporkan meninggal dunia akibat wabak itu.

Di seluruh dunia, orang ramai menyambut tahun baharu dengan kebanyakan negara mahu menghalang semua pihak daripada berkumpul.

Ketika ini Covid-19 kekal sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian dengan wabak berkenaan menyebabkan sempadan negara ditutup, keluarga yang berpisah serta di beberapa tempat perlu memakai pelitup muka.

Dr Tedros dalam ucapannya menyuarakan tanda positif bahawa pada masa kini terdapat pelbagai kaedah dan peralatan untuk merawat Covid-19.

Bagaimanapun, beliau mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa ketidaksamaan yang berterusan dalam pengedaran vaksin meningkatkan risiko virus berkembang.

“Nasionalisme sempit dan pembolotan bekalan vaksin oleh sesetengah negara menjejaskan ekuiti dan mewujudkan keadaan yang ideal untuk kemunculan varian Omicron, dan semakin lama ketidaksamaan berterusan, semakin tinggi risiko virus ini berkembang dengan cara yang tidak dapat kita cegah atau ramalkan.

“Jika kita menamatkan ketidakadilan, kita menamatkan wabak itu,” katanya.

Pada Disember lalu, Dr Tedros dalam kenyataan kepada media menggesa dunia terus bersatu dan membuat keputusan sukar yang diperlukan untuk menamatkan pandemik Covid-19 dalam tahun 2022.

“2022 mestilah tahun kita menamatkan pandemik,” katanya sambil meminta semua negara lebih fokus untuk menamatkan pandemik ini.

Tedros juga menegaskan, WHO yakin pandemik itu boleh diputuskan menerusi program vaksinasi secara besar-besaran, memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal.

“Paling penting, dunia perlu menamatkan ketidakadilan yang ketara dalam akses pemberian kepada vaksin.

“Jika kita ingin menamatkan wabak pada tahun akan datang, kita mesti menamatkan ketidakadilan ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment