Dos penggalak Sinovac aktif imuniti

KUALA LUMPUR 1 Jan. – Keputusan awal kajian yang dijalankan Universiti Katolik Pontifikal di Chile (UC) menunjukkan dos penggalak vaksin Covid-19 Sinovac boleh mengaktifkan imuniti selular terhadap varian Omicron, ke atas subjek yang menerima dua dos vaksin primer yang sama sebelum ini.

Kajian yang diketuai Pengarah Institut Milenium Imunologi dan Imunoterapi Prof Dr. Alexis M. Kalergis itu, adalah untuk menilai sama ada imuniti yang diaktifkan oleh dos penggalak vaksin Covid-19 Sinovac dapat mengenal pasti varian baharu, Omicron.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Pharmaniaga hari ini, beliau berkata mereka yang disuntik dengan dos penggalak vaksin Covid-19 Sinovac, mempunyai sel T yang diaktifkan menentang varian Omicron dengan cara yang sama seperti strain asal.

“Ini menunjukkan bahawa vaksin itu mengandungi antigen yang terdapat dalam varian Omicron. Hasil kajian menunjukkan bahawa apabila limfosit T bergabung dengan varian Omicron, mampu menghasilkan interferon gamma yang berkeupayaan membunuh virus berbahaya itu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Akademik dan Saintifik UC bagi Kajian Saintifik-Klinik CoronaVac di Chile Dr Susan Bueno berkata kemungkinan besar pengecaman sebahagian varian ini, telah menyumbang kepada keberkesanan vaksin dalam kalangan populasi, walaupun terdapat varian-varian yang tersebar di Chile.

Data populasi menunjukkan bahawa, vaksin Covid-19 Sinovac telah berfungsi dengan baik setakat ini untuk mengawal varian yang baru muncul.

Kenyataan itu turut memaklumkan penyelidik di Chile juga sedang menjalankan kajian tindak balas antibodi terhadap varian baharu ini dalam kerjasama antara Universiti Katolik, Universiti Chile, Institut Imunologi La Jolla di California (AS) dan Sinovac di China.

Related posts

Leave a Comment