Bersedia balik kampung berhari raya?

BILA kami boleh rentas negeri?

“Bergantung kepada penilaian risiko oleh KKM, ” jawab Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri dalam sidang media baru-baru ini.

Apakah itu penilaian risiko? Secara ringkas penilaian dengan melihat situasi jangkitan semasa dan kebarangkalian penularan jangkitan menjadi lebih teruk atau sebaliknya.

Menurut Facebook KKM, enam faktor yang menjadi indikator ialah:

1.  Situasi kes harian termasuk kes yang sudah sembuh dan dibenarkan pulang

2. Trend dan kadar kebolehjangkitan

3. Situasi semasa iaitu kadar kematian dan jumlah kes kematian

4.  Keupayaan katil dan wad Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital

5. Situasi semasa petugas kesihatan yang dijangkiti dan

6. Ujian saringan yang dijalankan di lapangan, saringan penyakit seperti influenza (ILI), jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) dan persampelan prapembedahan serta kemasukan ke wad.

KKM mengkaji semua data dan fakta sebelum menasihat atau mencadangkan kepada Jawatankuasa Teknikal untuk diputuskan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara.

KKM membuat penilaian risiko ini dari semasa ke semasa. Situasi semasa menunjukkan kes baharu dalam trend penurunan walaupun tidak konsisten, namun masih terlaku awal.

Memandangkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan baru saja berjalan, aktiviti kesihatan awam adalah paling berkesan untuk melandaikan keluk jangkitan.

Jika kepatuhan yang tinggi kepada SOP yang ditunjukkan oleh kita semua ketika ini berterusan, tidak mustahil kemeriahan balik kampung untuk menyambut Aidilfitri akan dirasai tahun ini.

Justeru tunjukkan kepatuhan yang tinggi terhadap SOP, semoga kita berpeluang untuk berhari raya apatah lagi bagi yang ada kampung halaman…

Related posts

Leave a Comment