Omicron: Ambil langkah waspada

PUTRAJAYA 30 Dis. – Penularan varian membimbangkan (VOC), Omicron yang berasal dari Afrika Selatan tidak dapat dielakkan, dan rakyat perlu mengambil langkah berwaspada, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Katanya, kerajaan berusaha memperlahankan gelombang penularan jangkitan Covid-19 menerusi varian Omicron itu bagi mengelak pelaksanaan langkah kawalan sekatan secara drastik.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai untuk mengambil langkah berwaspada, termasuk dengan melakukan saringan secara berkala khususnya jika ingin mengadakan pertemuan dengan ahli keluarga lain.

“Omicron tidak dapat dielakkan. Saya ingin cuba memperlahankan gelombang (Omicron) yang bakal tiba, dengan sebaik mungkin.

“Ini supaya kita tidak perlu mengambil keputusan melaksanakan langkah drastik yang bakal menjejaskan ekonomi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menyarankan masyarakat mengambil lima langkah iaitu melakukan ujian kendiri sebelum berkumpul, elak daripada menyertai aktiviti jika tidak sihat serta buka tingkap dan pintu untuk pengudaraan yang baik.

Turut digalakkan ialah mengadakan aktiviti di luar rumah dan sentiasa pakai pelitup muka serta hanya tanggalkan ketika waktu makan atau minum.

Sabtu lalu Kementerian Kesihatan memaklumkan, sebanyak 62 kes Covid-19 varian Omicron dikesan di Malaysia, dengan 61 kes adalah jangkitan import, manakala satu kes lagi masih dalam siasatan yang disyaki jangkitan tempatan.

Mengikut taburan data negeri pula, Omicron hari ini dilaporkan di Perak, Sarawak dan Negeri Sembilan.

Menjelang ambang tahun baharu, Khairy turut menasihatkan orang ramai yang ingin menyertai aktiviti sosial mengamalkan langkah berkaitan bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

Related posts

Leave a Comment