Kes harian meningkat 3,997

PUTRAJAYA 30 Dis. – Jumlah jangkitan baharu Covid-19 hari ini sekali lagi menunjukkan peningkatan melepasi angka 3,000 dalam apabila merekodkan 3,997 kes berbanding 3,683 semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata dengan pertambahan itu, jumlah kumulatif kes adalah sebanyak 2,754,513.

Menurut beliau, daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 3,631 adalah kes tempatan manakala kes import pula sebanyak 366.

“Kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) ketika ini adalah 281 kes iaitu 213 kes disahkan Covid-19, 68 kes lagi dalam kategori disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

“Kes yang memerlukan bantuan pernafasan adalah 155. Daripada jumlah itu, 77 kes disahkan Covid-19, sementara 78 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebanyak tiga kluster baharu direkodkan menjadikan jumlah keseluruhan 6,123 kluster manakala 5,902 kluster telah tamat dan 221 kluster aktif.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan pertambahan 15 kes positif Covid-19 yang dikesan di pusat pemindahan sementara (PPS) membabitkan mangsa banjir hingga pukul 3 petang tadi.

Sebanyak 6,348 orang mangsa banjir yang ditempatkan di 61 PPS ketika ini dengan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 dalam kalangan mangsa banjir adalah 442 kes.

“Bagaimanapun, tiada pertambahan kluster baharu yang dilaporkan hari ini dalam kalangan mangsa banjir di PPS,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, sebanyak 71 kes penyakit berjangkit yang dikesan dalam kalangan mangsa banjir, ini menjadikan jumlah kumulatifnya meningkat kepada 1,948 kes.

“Kes tertinggi membabitkan penyakit kulit dengan 30 kes, diikuti jangkitan saluran pernafasan akut (ARI) sebanyak 26 kes, Acute Gastroenteritis (AGE) merekodkan 13 kes dan penyakit kaki, tangan dan mulut (HMFD) dengan 2 kes,” katanya.

Related posts

Leave a Comment