SEPANG – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim diingatkan supaya tidak tergesa-gesa menyatakan sokongan terhadap Pelan Damai 20 Perkara yang dicadangkan Donald Trump bagi menyelesaikan konflik Gaza antara Israel dan Hamas.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, kerajaan Malaysia tidak boleh terlalu mudah, terburu-buru atau memberi ‘cek kosong’ terhadap pelan Presiden Amerika Syarikat (AS) itu yang mencurigakan dalam banyak perkara.
“Kerajaan Malaysia perlu teliti dan cerewet dalam menilai pelan damai Trump itu bukanlah kerana kita hendak menjadi lebih Hamas daripada Hamas itu sendiri!” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengingatkan demikian menjelang jawapan Perdana Menteri di Dewan Rakyat esok mengenai pendirian kerajaan Malaysia terhadap Pelan Damai 20 Perkara oleh Presiden Trump untuk Perdamaian di Gaza antara Israel dan Hamas.
“Ini persoalan penting dan perlu dijawab dengan jelas serta berhati-hati sesuai dengan pendirian tegas Malaysia dalam perjuangan adil rakyat Palestin selama berpuluh-puluh tahun,” katanya.
Beliau menggariskan beberapa hujah mengapa Malaysia perlu berhati-hati dalam menyatakan pendirian walaupun teruja dengan cadangan Trump yang menjanjikan perang tamat segera di Gaza dan keamanan untuk rakyat Gaza dapat dicapai.
“Soalnya kalau Trump jujur tentang keamanan di Gaza, kenapa Trump dan Amerika Syarikat sebanyak enam kali berturut-turut dalam masa dua tahun perang berlangsung menggunakan kuasa vetonya ke atas enam resolusi untuk menggagalkan gencatan senjata di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Kerana pendirian Trump dan Amerika Syarikat yang menyokong regim zionist Israel itulah maka seramai lebih 66,000 rakyat Palestin telah dibunuh oleh tentera Israel,” kata Hassan.
Menurut Hassan, Perdana Menteri dan Wisma Putera boleh menyemak 20 perkara pelan damai Trump untuk Gaza, satu persatu yang jelas tidak ada peranan rakyat Palestin untuk menentukan masa depan mereka sendiri dalam pelan damai itu.
Sebaliknya Trump melantik dirinya sendiri sebagai pengerusi satu badan penyelia antarabangsa yang anggota jawatankuasanya termasuk mantan Perdana Menteri Britain Tony Blair yang pernah bersama-sama George W.W.Bush, Presiden AS bertanggungjawab memusnahkan Iraq dalam perang pada tahun 2003.
“Kerajaan Malaysia perlu berwaspada supaya tidak tertipu dengan helah Presiden Trump dan Perdana Menteri Israel Benjamin Nentanyahu atas nama pelan damai 20 perkara itu,” katanya.
Nentanyahu pula katanya telah menyatakan kepada rakyat Israel bahawa tentera Israel tidak akan berundur dari wilayah yang telah ditakluknya dan dia tidak bersetuju wujudnya sebuah negara Palestin merdeka.
“Ertinya Perdana Menteri Israel itu secara terang lagi bersuluh tidak menerima perkara-perkara asas yang dinyatakan dalam pelan damai Trump 20 perkara itu,” katanya.
Nnnn
