Kes harian Malaysia 2,757

PUTRAJAYA 27 Dis. – Jumlah kes harian Covid-19 hari ini terus mencatatkan angka di bawah 3,000 apabila sebanyak 2,757 direkodkan sehingga pukul 12 tengah hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes adalah sebanyak 2,743,936.

Semalam, sebanyak 2,778 kes Covid-19 dilaporkan iaitu jumlah di bawah 3,000 buat kali kedua yang direkodkan sepanjang bulan ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah kes baharu itu, hanya 40 dalam kategori tiga, empat dan lima manakala bakinya adalah kategori satu dan dua iaitu tidak bergejala serta bergejala ringan.

Kes harian ini membabitkan 2,594 kes tempatan dan 163 kes import selain 297 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 169 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 4,620 kes sembuh dicatatkan menjadikan kumulatif pesakit pulih 2,669,654 manakala tujuh kluster baharu dikesan menjadikan jumlah yang masih aktif ialah 223.

Beliau berkata, sejumlah 429 kes Covid-19 dikesan dalam kalangan mangsa banjir membabitkan 11 di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 3 petang ini.

Katanya, Malaysia mencatatkan penurunan 18.6 peratus kes baharu untuk Minggu Epidemiologi (ME) ke-51 dari 19 hingga 25 Disember iaitu daripada 27,698 kes (ME ke-50) kepada 22,554 kes (ME ke-51) selain purata kes aktif turut mencatatkan penurunan 13 peratus dengan purata 48,218 kes pada ME ke-51.

Kes kematian pula meningkat sebanyak 15.2 peratus dengan 242 kematian pada ME ke-51 berbanding 211 kematian pada ME ke-50 dan peningkatan itu berlaku setelah penurunan kes kematian dicatatkan selama tujuh minggu berturut-turut pada ME ke-43 sehingga ME ke-50.

Purata kes yang memerlukan rawatan di ICU menunjukkan penurunan sebanyak 12 peratus iaitu 316 kes (ME ke-50) kepada 277 kes (ME ke-51) manakala purata kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan turut menunjukkan penurunan 10.6 peratus iaitu dari 140 kes (ME ke-50) ke 125 kes (ME ke-51).

Dr Noor Hisham berkata, sehingga Sabtu lalu, terdapat kumulatif 6,101 kluster dilaporkan serta 223 kluster aktif dan ini menunjukkan penurunan 11.5 peratus berbanding ME ke-50.

Beliau turut memaklumkan sebanyak 99 kes penyakit berjangkit dikesan dalam kalangan mangsa banjir melibatkan 51 jangkitan saluran pernafasan akut (ARI), 39 penyakit kulit dan sembilan lagi gastroenteritis akut.

 

 

Related posts

Leave a Comment