Omicron kini di 77 negara

GENEVA 15 Dis. – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa negara di seluruh dunia mengambil tindakan segera selepas Omicron mula merebak pantas di kebanyakan negara, kata Ketua Pengarahnya, Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Beliau berkata, varian itu kini dilaporkan menular di 77 negara dan kemungkinan sudah merebak ke kebanyakan negara tanpa dikesan pada kadar yang tidak pernah dilihat mana-mana varian sebelum ini.

WHO semalam memberi amaran supaya berwaspada apabila Afrika mencatatkan peningkatan kes sepanjang minggu lalu, tetapi jumlah kematian yang lebih rendah berbanding gelombang sebelumnya.

Badan dunia itu menggesa semua negara bertindak pantas mengekang penularan dan melindungi sistem kesihatan mereka serta tidak hanya bersikap sambil lewa.

Bercakap pada taklimat media awal pagi ini (waktu Malaysia) Tedros mengingatkan agar tidak mengambil mudah tentang varian tersebut walaupun ia menyebabkan penyakit yang kurang teruk.

Ini adalah kerana bilangan kes mungkin sekali lagi dapat mengatasi sistem kesihatan yang tidak bersedia menerima jumlah pesakit yang ramai.

Tedros juga meminta negara-negara di dunia untuk menggunakan semua langkah yang mungkin bagi membendung penyebaran varian tersebut seperti meningkatkan vaksinasi, memakai pelitup muka dan melakukan jarak fizikal.

Pakar WHO Bruce Aylward dengan tegas memberi amaran supaya jangan membuat kesimpulan varian ini adalah penyakit ringan.

“Kita mungkin (perlu) bersedia untuk situasi yang sangat berbahaya,” katanya.

Amaran itu itu diberikan ketika Pfizer mendakwa ujian klinikal pil anti-Covid-19nya berkesan hampir 90 peratus mengurangkan kemasukan ke hospital dan kematian dalam kalangan individu berisiko.

Ketua Pegawai Eksekutif Pfizer, Albert Bourla berkata, pil keluaran mereka itu akan menjadi penentu serta menjangkakan kebenaran menggunakan kaedah rawatan memerangi Covid-19 itu akan diberikan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) seawal bulan ini.

Related posts

Leave a Comment