5 bulan tempoh ambil dos penggalak

CANBERRA: Australia memendekkan waktu menunggu bagi orang ramai menerima suntikan dos penggalak Covid-19 berikutan peningkatan jumlah kes varian Omicron.

Menteri Kesihatan Greg Hunt berkata jarak masa akan dipendekkan kepada lima bulan selepas individu yang berusia atas 18 tahun mendapatkan dos kedua vaksin .

Sebelum itu, Australia menyatakan ia akan menawarkan dos penggalak kepada setiap individu yang sudah mendapatkan dos kedua vaksin enam bulan sebelumnya.

“Suntikan dos penggalak lima bulan atau lebih lama selepas dos kedua akan memastikan perlindungan daripada suntikan asas yang bahkan lebih kuat dan lagi berpanjangan serta seharusnya membantu mencegah penularan virus itu,” kata Hunt dalam satu kenyataan.

“Data dari Israel menunjukkan dos penggalak menyokong pengurangan pada kadar jangkitan dalam kumpulan usia yang layak, sakit teruk dalam kalangan individu berusia lebih 40 tahun dan kematian di antara mereka yang berumur atas 60 tahun,” katanya.

Australia akan menggunakan kedua-dua vaksin dari Pfizer dan Moderna untuk program dos penggalaknya.

Setakat ini Australia adalah antara negara yang mempunyai paling ramai penduduk divaksin, dengan sekitar 90 peratus penduduk berusia 16 tahun keatas sudahpun lengkap divaksin.

Bagaimanapun , Australia pada Ahad melaporkan 1,556 kes dalam tempoh 24 jam lalu, hampir mencecah paras tertinggi dalam masa enam minggu yang dilaporkan sehari sebelumnya.

Australia mencatatkan sekitar 229,000 kes jangkitan Covid-19, iaitu jauh lebih rendah berbanding negara-negara lain, dengan 2,100 kematian. 

Related posts

Leave a Comment