Kematian tidak divaksin lebih tinggi

PUTRAJAYA 9 Dis. – Kematian akibat Covid-19 adalah 20 kali ganda lebih tinggi dalam kalangan populasi yang tidak divaksin, berbanding yang sudah divaksinasi, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurut beliau, trend kematian Covid-19 di negara ini terus menunjukkan penurunan dengan liputan vaksinasi yang meluas.

“Data kami (Kementerian Kesihatan) menunjukkan kematian dalam kalangan yang tidak divaksinasi dan sebahagiannya divaksinasi adalah 3,200 orang/kematian bagi setiap satu juta penduduk.

“Bagi individu yang lengkap vaksinasi adalah 160 orang/kematian bagi satu juta penduduk dan kematian bagi mereka yang mendapat dos penggalak adalah empat orang/kematian bagi setiap satu juta penduduk,” katanya menerusi akauan Twitter.

Beliau berkata, berdasarkan data Kematian Covid-19 Kebangsaan dari 1 Januari hingga Sabtu lalu, jumlah kematian tertinggi direkodkan pada 11 September dengan 592 kes.

“Jumlah kematian tertinggi bagi kematian di luar hospital (BID) pula adalah pada 13 September dengan 176 kes. Data itu berdasarkan jumlah laporan kematian yang diterima setiap hari,” katanya.

Tahun  ini sejumlah 24,014 individu meninggal dunia di hospital dan 6,046 kes BID.

Related posts

Leave a Comment