Janji PSB kepada rakyat Sarawak

SIBU 9 Dis. – Reformasi struktur kerajaan dengan pelantikan empat timbalan ketua menteri bagi mewakili kumpulan etnik utama adalah antara janji manifesto Parti Sarawak Bersatu (PSB) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak.

Menurut manifesto itu, etnik utama iaitu Dayak, Melayu, Melanau dan Cina serta beberapa kumpulan pribumi minoriti berhak mendapat sekurang-kurangnya satu jawatan penting sama ada Ketua Menteri atau timbalan ketua menteri.

Setiap kumpulan etnik minoriti juga akan mempunyai sekurang-kurangnya seorang menteri atau menteri muda dalam Kabinet negeri.

Bagi mengelakkan kronisme dan memastikan ketelusan dan perwakilan yang adil dalam kerajaan, Kabinet dan sektor awam serta pihak berkuasa atau badan kerajaan akan diwakili secara adil dan sama bukan sahaja mengikut latar belakang etnik, tetapi juga wilayah atau kawasan yang berbeza di seluruh Sarawak.

Mengenai isu tanah, PSB dalam manifesto itu menegaskan dasar semasa Sarawak tidak memberi jaminan pemilikan tanah.

Justeru parti itu mencadangkan untuk menukar semua hak milik kediaman pegangan pajak kepada pegangan bebas untuk anak jati Sarawak manakala tanah hak adat Bumiputera (NCR) akan diberikan status hak milik kekal.

Selain itu, PSB juga mahukan Sarawak menjadi model negara sekular dengan menubuhkan Suruhanjaya Keharmonian Agama bagi memastikan kebebasan beragama diamalkan dan mahu memastikan pembiayaan awam untuk semua agama yang diiktiraf di negeri ini.

Manifesto PSB disiarkan di semua akhbar tempatan dan platform media sosial dalam bahasa Inggeris, Melayu, Cina dan Iban hari ini bagi memudahkan pengundi pelbagai kaum memahaminya.

Selasa lalu, Presiden PSB, Wong Soon Koh berkata, mereka tidak mengadakan majlis pelancaran manifesto itu kerana tidak mahu menganjurkan perhimpunan besar-besaran bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

Manisfesto PSB turut menawarkan inisiatif sosial kepada rakyat Sarawak antaranya memperkenalkan endowmen kanak-kanak bagi menggalakkan rakyat Sarawak untuk menetap dan membesarkan keluarga di negeri ini.

Menerusi inisiatif itu setiap keluarga dijanjikan akan menerima subsidi bulanan menerusi bantuan penjagaan kanak-kanak.

Bagi kanak-kanak berusia bawah tiga tahun, PSB menawarkan bantuan subsidi sebanyak RM200 setiap bulan, manakala bagi kanak-kanak yang berumur antara tiga hingga lima tahun pula sebanyak RM300 sebulan.

Bagi kanak-kanak berumur atas lima tahun hingga 18 tahun, kami menawarkan bantuan sebanyak RM500 sebulan.

Golongan warga emas yang kehilangan upaya dan warga Sarawak yang cacat yang memerlukan penjagaan khas turut dijanjikan elaun jagaan sebanyak RM1,200 sebulan.

Related posts

Leave a Comment