Kes meningkat di bawah angka 5,000

PUTRAJAYA 7 Dis. – Masih di bawah angka 5,000 apabila jumlah kes jangkitan harian Covid-19 meningkat kepada 4,965 berbanding 4,262 yang direkodkan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata peningkatan kes baharu itu menjadikan setakat kini sebanyak 2,667,999 individu dijangkiti virus berkenaan.

Daripada jumlah kes dikesan hari ini, 4,936 kes adalah penularan tempatan dengan 29 kes adalah kes import jangkitan dari luar negara.

Katanya, daripada jumlah kes aktif di negara ini, sebanyak 437 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) membabitkan 375 kes sah Covid-19 dan 62 kes disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

“Sebanyak 240 kes ICU yang memerlukan alat bantuan pernafasan direkodkan, iaitu 167 kes disahkan Covid-19 serta 73 kes disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kes baharu hari ini membabitkan 4,869 pesakit Covid-19 dalam kategori Satu dan Dua iaitu tidak mempunyai gejala dan bergejala ringan.

Katanya, kes yang dilaporkan hari ini turut membabitkan 96 pesakit Covid-19 kategori Tiga hingga Lima iaitu mempunyai radang paru-paru, memerlukan alat bantuan pernafsan dan kritikal.

Beliau berkata, sembilan kluster baharu dikesan dan ia menjadikan 235 kluster masih aktif di negara ini.

“Sebanyak 4,817 kes pulih dilaporkan sehingga tengah hari tadi, menjadikan 2,576,870 kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19,” katanya.

Related posts

Leave a Comment