38 kematian baharu Covid-19

PUTRAJAYA 7 Dis. – Kementerian Kesihatan melaporkan 38 kematian baharu akibat jangkitan Covid-19 setakat tengah malam tadi menjadikan jumlah keseluruhan kematian 30,652 orang, daripada 2.65 juta kes positif yang dikesan di negara ini.

Menurut data di portal COVIDNOW, lapan daripada 38 kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).

Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu dan ini berikutan proses pengesahan sama ada pesakit meninggal dunia akibat pandemik mengambil masa.

Sementara itu, terdapat 60,329 kes aktif Covid-19 di seluruh negara dan daripada jumlah itu, 49,358 individu atau 81.8 peratus sedang menjalani kuarantin di rumah.

Seramai 5,780 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC),  4,728 kes dirawat di hospital dan 463 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Kes ICU membabitkan 214 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 249 lagi memerlukan mesin ventilator.

Related posts

Leave a Comment