Singapura sahkan dua kes Omicron

SINGAPURA 7 Dis – Kementerian Kesihatan (MoH) melaporkan 662 kes baharu Covid-19 di Singapura dan empat kematian dikaitkan dengan koronavirus setakat tengah hari semalam menjadikan jumlah keseluruhan 269,873 kes.

MoH turut menyatakan penjujukan genom bagi dua kes import yang diumumkan pada 2 Disember sudah selesai, dan mengesahkan kedua-dua kes itu sebagai jangkitan varian Omicron Covid-19.

Dalam kenyataannya semalam, MoH memaklumkan 638 kes dalam masyarakat dengan 11 kes import dan 13 kes di dormitori pekerja asing.

MoH juga menyatakan dua penumpang yang tiba di Singapura dari Afrika Selatan dalam penerbangan SIA disahkan sebagai jangkitan varian Omicron setelah penjujukan genom oleh Makmal Kesihatan Awam Nasional (NPHL).

Khamis lalu MoH melaporkan dua penumpang yang tiba di Singapura dari Afrika Selatan dalam penerbangan SIA diuji positif awal bagi varian Omicron.

Kedua-dua kes itu sudah lengkap divaksin dan mengalami gejala ringan iaitu batuk dan tekak gatal. Mereka diasingkan sejurus tiba di Singapura pada 1 Disember dan tidak berinteraksi dengan masyarakat.

MoH juga merekodkan empat kematian melibatkan individu berusia 81 – 97 tahun

dengan jumlah 763 kematian.

Seramai 850 pesakit masih dirawat di hospital di mana 142 memerlukan bantuan oksigen di wad biasa, enam tidak stabil dan dipantau di ICU, 47 sakit tenat dan perlu intubasi di ICU.

MoH juga memaklumkan seramai 1,198 pesakit dibenarkan pulang dengan 182 adalah warga emas berusia 60 tahun dan ke atas.

Related posts

Leave a Comment