Sekolah Seri Puteri diarah tutup

PUTRAJAYA 3 Dis. – Sekolah Seri Puteri di Cyberjaya diarah tutup buat sementara waktu berikutan terdapat 135 kes baharu Covid-19 dikesan membabitkan warga sekolah berkenaan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata penutupan sekolah berkenaan dilakukan dibawah Seksyen 18 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Penutupan itu bagi tujuan pembersihan dan disinfeksi dan satu sesi taklimat dan penerangan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah berkenaan turut diadakan dan pemantauan berterusan akan dijalankan bagi memastikan kluster ini terkawal.

Dikenali sebagai Kluster Persiaran Tasik, sehingga semalam seramai 973 warga sekolah sudah disaring dan daripada jumlah itu terdapat 135 kes baharu dikesan.

Ini menjadikan keseluruhan kes Covid-19 dalam kluster ini seramai 143 individu iaitu 114 murid, 19 guru dan 10 kakitangan; dengan kadar serangan 14.7 peratus.

“Daripada 143 kes yang positif COVID-19, seramai 106 kes dalam kategori Satu dengan 35 kes yang lain adalah dalam kategori 2A dan dua kes dalam kategori 2B (masing-masing seorang guru dan seorang murid). Semua mereka kini stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata pihaknya turut mengesan seramai 700 kontak rapat iaitu 603 murid, 59 guru, dan 38 kakitangan.

Kontak rapat dalam kalangan murid dimasukkan ke stesen kuarantin iaitu di Institut Aminuddin Baki dan Institut Latihan Islam Malaysia manakala kontak rapat dalam kalangan guru dan kakitangan dikuarantin di rumah masing-masing.

Related posts

Leave a Comment