GPS kemuka 24 muka baharu

KUCHING 3 Dis. – Gabungan Parti Sarawak (GPS) menampilkan 24 muka baharu berusia antara 30 hingga 40 tahun pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12) yang akan diadakan 18 Disember ini.

Ketua Menteri, Abang Johari Abang Openg, berkata semua calon muka baharu terbabit akan didedahkan dengan ‘politik ala Sarawak’ bagi melengkapkan mereka sebagai pemimpin masa depan.

“Politik ala Sarawak ini memperjuangkan masyarakat berbilang kaum, agama, budaya dan keturunan. Lanskap politik Sarawak ini hanya orang Sarawak yang tahu, sebab itu kita memilih tema ‘Sarawak First’ dan ia akan didedahkan kepada calon-calon muka baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Watikah kepada calon GPS di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), hari ini.

GPS akan bertanding di semua 82 kerusi yang mewakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Parti-parti komponen itu juga akan menggunakan logo gabungan parti itu bagi menghadapi calon-calon parti tempatan lain serta DAP dan PKR.

Pemimpin utama parti komponen akan diturunkan termasuk Abang Johari selaku Presiden PBB di DUN Gedong, Presiden PDP yang juga Ahli Parlimen Bintulu, Tiong King Sing, (DUN Dudong) dan Presiden SUPP Dr Sim Kui Hian (DUN Batu Kawa)

Semua muka baharu datang daripada latar belakang dan profesion berbeza termasuk Azizul Annuar Adenan, 30, anak bongsu bekas Ketua Menteri, Allahyarham Adenan Satem yang akan bertanding di Tanjung Datu, mengisi kekosongan ditinggalkan ibunya,  Jamilah Anu yang mengundur diri.

Abang Johari yang juga Pengerusi GPS yang bertukar kawasan dan tidak akan mempertahankan kerusi Satok yang disandangnya sejak sembilan penggal lalu akan digantikan oleh Ahli Majlis Tertinggi PBB, Ibrahim Baki.

Calon muka baharu, Nicholas Kudi Jantai Maseng pula dinamakan sebagai calon untuk Baleh, kerusi yang kosong berikutan kematian penyandangnya James Masing Jemut, yang juga Presiden PRS. Nicholas Kudi adalah anak saudara mendiang Masing.

Related posts

Leave a Comment