Definisi kontak rapat

APABILA seseorang itu disahkan positif Covid-19 dan kebetulan beliau begitu aktif menghadiri pelbagai program (ke sana sini) timbul persoalan sama ada ‘orang sekeliling’ perlu menjalani ujian saringan. Timbul rasa panik dalam kalangan ‘peserta program’ dan klinik kesihatan menjadi tumpuan

Hakikatnya hanya kontak rapat sahaja yang perlu dikesan oleh pihak berkuasa untuk menjalani saringan.

Dalam hal ini Kementerian Kesihatan Malaysia semalam, 9 Oktober menjelaskan mengenai definisi kontak rapat dan Perintah Home Surveillance Order (HSO).

HSO akan diberikan kepada:

1) Individu yang mempunyai gejala ringan dan tidak memenuhi kriteria bagi kemasukan ke wad iaitu Patient Under Investigation (PUI);

ATAU

2) Individu yang tidak mempunyai gejala, namun mempunyai sejarah perkaitan epidemiologi seperti kontak rapat kepada kes yang dijangkiti Covid-19 iaitu Person Under Surveillance (PUS).

Kontak rapat kepada kes positif Covid-19 merupakan individu yang telah dikenalpasti oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berdasarkan siasatan lapangan dan penilaian risiko yang dijalankan. Kontak rapat merupakan individu yang mempunyai kontak secara langsung dengan kes positif Covid-19.

Ini meliputi individu yang bersemuka secara langsung dengan pesakit Covid-19 pada jarak yang kurang daripada 1 meter atau individu yang mempunyai kontak fizikal dengan kes Covid-19 dalam tempoh 14 hari dari tarikh jangkitan. Antara individu yang dikesan sebagai kontak rapat meliputi:

• Anggota kesihatan yang memberi perawatan kepada kes Covid-19 yang positif TANPA menggunakan alat perlindungan diri (PPE) yang lengkap;

ATAU

• Ahli keluarga yang tinggal serumah dengan kes positif Covid-19;

ATAU

• Individu yang duduk berdekatan (kurang 1 meter dengan kes Covid-19) misalnya di pejabat atau di dalam kelas;

ATAU

• Individu dikesan mengembara bersama atau duduk dengan jarak yang dekat (kurang daripada 1 meter) dengan kes positif Covid-19 sepanjang tempoh perjalanan.

Individu yang pernah berhubung dengan kes positif namun tidak tidak dikenal pasti sebagai kontak rapat tidak akan diberikan HSO. Walau bagaimana pun individu ini dinasihatkan untuk menjalani kuarantin kendiri (self quarantine) dan memantau status kesihatan masing-masing sepanjang tempoh 14 hari serta mengamalkan nasihat kesihatan yang telah dikeluarkan oleh KKM.

Related posts

Leave a Comment