WHO belum jelas tahap mudarat Omicron

GENEVA : Masih belum jelas sama ada Omicron yang pertama kali dikesan di selatan Afrika adalah lebih berjangkit berbanding varian lain atau jika ia menyebabkan penyakit lebih teruk, demikian menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

WHO berkata, data awal mencadangkan terdapat peningkatan pada kadar kemasukan ke hospital di Afrika Selatan tetapi ini mungkin disebabkan oleh jumlah keseluruhan orang yang terjangkit meningkat, bukannya kerana jangkitan tertentu

Menurut WHO, dalam kenyataannya, untuk memahami tahap kemudaratan Omicron “akan memakan masa sehingga beberapa minggu”.

Varian koronavirus Omicron menular di seluruh dunia pada Ahad (28 November ) dengan kes-kes baharu dikesan di Belanda, Denmark dan Australia, ketika lebih banyak negara mengenakan sekatan perjalanan.

WHO menyatakan ia sedang bekerjasama dengan para pakar teknikal untuk memahami kesan varian itu ke atas langkah-langkah pencegahan sedia ada terhadap Covid-19, termasuk vaksin.

Sementara itu, Britain akan mengadakan satu mesyuarat tergempar melibatkan para menteri kesihatan G7 pada Isnin untuk membincangkan perkembangan itu.

Penguasa kesihatan Belanda menyatakan 13 kes varian Omicron dikesan dalam kalangan penumpang dari dua penerbangan yang tiba di Amsterdam dari Afrika Selatan pada 26 November.

Omicron yang disifatkan sebagai “varian membimbangkan” oleh WHO kini dikesan di Australia, Belgium, Botswana, Britain, Denmark, Jerman, Hong Kong, Israel, Itali, Belanda dan Afrika Selatan.

Banyak negara mengenakan larangan atau sekatan perjalanan terhadap negara-negara di selatan Afrika untuk mengekang penularan varian itu.

Seorang doktor di Afrika Selatan, yang menjadi antara yang pertama untuk mengesan jenis koronavirus berbeza, berkata pada Ahad bahawa gejala Omicron adalah jauh lebih ringan dan mungkin boleh dirawat di rumah.

Menurut satu laporan lain, para pesakit  tidak melaporkan kehilangan deria bau atau rasa, tiada juga kemerosotan ketara pada tahap oksigen pesakit yang dijangkiti varian baharu ini.

Related posts

Leave a Comment