Omicron peringatan risiko masih wujud

WELLINGTON: New Zealand akan beralih ke sistem meneruskan kehidupan dengan virus Covid-19 pada lewat minggu ini meskipun varian Omicron menimbulkan ancaman kesihatan baharu kepada seluruh dunia.

Perdana Menteri Jacinda Ardern berkata, buat masa ini, tiada sebarang kes varian Omicron dikesan di New Zealand tetapi perkembangan situasi global menunjukkan perlunya pendekatan berhati-hati diambil di sempadan.

“Omicron adalah satu peringatan bahawa risiko masih wujud di sempadan kita,” katanya pada satu sidang media.

Sekatan sempadan di New Zealand adalah antara yang paling ketat di dunia dan negara itu merancang untuk menutup sempadannya kepada sebahagian besar pelawat asing sepanjang tempoh lima bulan lagi.

Ia juga memperkenalkan langkah-langkah kawalan sempadan bagi pelawat dari sembilan negara selatan Afrika pada hujung minggu lalu dan hanya rakyatnya dari negara-negara itu boleh memasuki New Zealand tetapi perlu dikuarantin 14 hari.

Ardern berkata lebih banyak bukti masih perlu dikumpulkan untuk mengetahui kesan varian Omicron.

“Ia mungkin menjejas vaksin-vaksin kita, namun ia mungkin tidak. Ia mungkin lebih serius atau lebih ringan berbanding Delta… kita tidak tahu,” kata  Ardern.

Ketua Pengarah Kesihatan Ashley Bloomfield berkata pihak berkuasa sedang mempertimbangkan sama ada lebih banyak perlu dilakukan di sempadan bagi mencegah Omicron memasuki negara itu.

New Zealand beralih ke sistem “lampu trafik” yang baharu mulai Jumaat (3 Disember) yang membahagikan kawasan-kawasan mengikut warna merah, jingga atau hijau berdasarkan tahap pendedahan kepada Covid-19 dan kadar vaksinasi.

Auckland yang merupakan pusat penularan Delta di negara itu, akan bermula dengan warna merah. Pemakaian pelitup diwajibkan di sana dan had dikenakan terhadap jumlah individu yang dibenarkan untuk berhimpun di tempat-tempat awam.

New Zealand setakat ini melaporkan sekitar 11,000 kes dan 43 kematian berkaitan Covid-19. 

Related posts

Leave a Comment