Singapura pantau varian Omicron

SINGAPURA 28 Nov. – Singapura sedang memantau ‘dengan sangat teliti’ varian baharu Covid-19 dikenali Omicron dan mungkin terpaksa menilai semula beberapa langkah sebelum mengatur langkah seterusnya,.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata, Singapura sudah menunjukkan banyak kemajuan dalam usaha melawan Covid-29 tetapi mesti bersedia bagi menghadapi lebih banyak cabaran.

“Saya yakin kita akan mencari jalan untuk hidup bersama virus itu dan menyambung semula dengan selamat semua perkara yang kita gemar lakukan.

“Kita berusaha kerana kita mahu melaksanakan semua itu dengan selamat, mencatat jumlah kecil kematian seberapa boleh.” katanya ketika berucap di Konvensyen Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Varian Omicron ditetapkan sebagai ‘varian membimbangkan’ oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dengan negara-negara mengenakan sekatan perjalanan terhadap para pelawat dari beberapa negara Afrika.

Singapura sebelum ini menyatakan akan menyekat kemasukan bagi pelawat yang baru-baru ini mempunyai sejarah perjalanan ke tujuh negara Afrika berikutan kemunculan varian tersebut di rantau berkenaan.

Semua pemegang pas jangka panjang dan pelawat jangka pendek dengan sejarah perjalanan ke Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Afrika Selatan dan Zimbabwe sepanjang tempoh 14 hari lalu tidak akan dibenarkan untuk memasuki atau Singapura atau membuat persinggahan di sini.

Lee juga menarik perhatian Covid-19 sudah menjadi satu “ujian menjalin” kepercayaan masyarakat di mana sesetengah masyarakat mempunyai kepercayaan tinggi, yang lain pula, kurang rasa percaya – dan ia mewujudkan perbezaan ketara sewaktu satu-satu krisis.

“Singapura adalah dan mesti sentiasa mempunyai kepercayaan tinggi. Ini adalah caranya untuk menempuhi bukan sahaja Covid-19 tetapi apa jua cabaran yang datang menerpa,” katanya.

Beliau memberi contoh negara-negara yang berdepan kesukaran besar untuk memvaksin seluruh penduduknya meskipun sudah tersedia.

Katanya, perpecahan politik dan rasa tidak percaya yang mendalam menjadikannya lebih sukar bagi Amerika Syarikat dan banyak negara Eropah lain untuk mengawal Covid-19.

“Ramai di antara mereka adalah antivaksin – bukan disebabkan mereka disalah bimbing atau bersikap tidak mengambil endah tetapi kerana rasa tidak percaya yang mendalam – terhadap pihak berkuasa secara amnya dan pemerintah mereka sendiri secara khusus,” katanya..

Beliau menarik perhatian bahawa Singapura beruntung kerana tidak mempunyai perpecahan seumpamanya dalam masyarakat.

Related posts

Leave a Comment