Ujian saringan murid sekolah rendah

PUTRAJAYA 26 Nov. – Mulai Isnin ini, murid sekolah rendah diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19 mingguan secara bergilir, bagi mengelakkan wujudnya kluster pendidikan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata ujian terbabit adalah sebahagian daripada Strategi Pengujian Covid-19 Kebangsaan.

“Ujian ini perlu dilaksanakan ke atas sekurang-kurangnya 10 peratus sampel daripada populasi murid di sesebuah sekolah,” katanya pada sidang media hari ini.

Khairy berkata, murid terbabit akan menjalani ujian saringan secara bergilir kepada sampel berbeza setiap minggu bagi melihat wujud kesan gejala atau sebaliknya.

“Kalau bergejala, sudah tentu mesti buat ujian tetapi kalau tidak bergejala pun, di sekolah rendah, mesti buat ujian sampel daripada populasi pelajar bagi memastikan tidak wujud kluster di peringkat sekolah,” katanya.

Berdasarkan strategi itu, murid terbabit akan menjalani ujian kendiri Covid-19 dan dipantau oleh institusi sekolah.

Sementara itu Khairy berkata, penjaga dan pelawat kini dibenarkan melawat pesakit di semua kemudahan kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM), berkuat kuasa serta-merta.

Katanya, kebenaran itu bagaimanapun diputuskan untuk beberapa kategori pesakit yang sedang menerima rawatan.

Contohnya , pesakit yang menghidap penyakit kritikal dan memerlukan penjagaan, pesakit tenat, kurang upaya, warga emas, yang memerlukan bantuan komunikasi membabitkan pesakit kanak-kanak, ibu dalam proses bersalin dan sebagainya.

Related posts

Leave a Comment