Tanpa vaksinasi dilarang ke restoran

ROM: Mulai 6 Disember, Itali mengenakan larangan beberapa aktiviti kepada invididu yang tidak mengambil vaksin Covid-19 dalam usaha kerajaan membendung peningkatan jangkitan dan mengelakkan penutupan semula sektor ekonomi.

Larangan itu termasuk hanya individu yang mempunyai bukti vaksinasi atau pulih daripada Covid-19 dibenarkan makan di restoran tertutup dan menonton wayang atau menyertai acara sukan.

Perdana Menteri Mario Draghi berkata,  kerajaan juga mewajibkan vaksinasi untuk penguat kuasa undang-undang, tentera dan semua pekerja sekolah.

Langkah itu juga bertujuan mengekalkan keuntungan yang dicapai Itali dalam memulihkan ekonomi ketiga terbesar Kesatuan Eropah (EU).

Itali menyaksikan peningkatan jangkitan tetapi merekodkan sekitar 10,000 kes baharu dan kurang daripada 100 kematian sehari.

Negara itu telah memberi vaksin sepenuhnya kepada lebih 84 peratus daripada penduduknya yang berusia 12 tahun ke atas.

Matlamat langkah baharu itu adalah untuk menghalang penutupan menyeluruh seperti mengembalikan semula perintah berkurung.

Arahan baharu itu akan membenarkan restoran dan tempat lain untuk terus dibuka walaupun kes meningkat dan hospital penuh, tetapi hanya kepada mereka yang mempunyai bukti vaksinasi atau telah pulih daripada Covid-19.

Melalui arahan itu juga,  pihak berkuasa tempatan digesa merangka kawalan yang dipertingkatkan dan melaporkan setiap minggu kepada Kementerian Dalam Negeri tentang bagaimana mereka akan menguatkuasakan langkah baharu itu.

Related posts

Leave a Comment