‘Vaksin tambah’ hadapi Covid-19

BAGI meningkatkan perlindungan daripada Covid-19, orang ramai digesa menggunakan pendekatan ‘vaksin tambah’, yang terdiri daripada vaksinasi, penjarakan sosial, penggunaan pelitup muka dan mencuci tangan.

Pengarah Serantau untuk WHO Eropah, Hans Kluge, dalam satu kenyataan membuat gesaan itu berikutan situasi Covid-19 di seluruh Eropah dan Asia Tengah yang sangat serius kebih-lebih lagi dalam menghadapi musim sejuk yang mencabar.

Menurut WHO, satu kajian menunjukkan pelitup muka mengurangkan insiden Covid-19 sebanyak 53 peratus dan ‘lebih 160,000 kematian boleh dicegah (menjelang 1 Mac) jika liputan pelitup muka universal sebanyak 95 peratus dicapai’.

WHO juga berkata, bukti semakin berkembang bahawa perlindungan yang disebabkan oleh vaksin terhadap jangkitan dan penyakit ringan semakin berkurangan.

Sementara itu, WHO mengingatkan angka kematian di benua Eropah boleh mencecah 2.2 juta pada musim sejuk ini jika trend semasa berterusan.

Menurut WHO, kira-kira 700,000 boleh mati dalam beberapa bulan akan datang apabila kes menjalar di seluruh Eropah sehingga mendorong beberapa negara untuk mengenakan semula sekatan yang ketat.

WHO menjangkakan ‘tekanan tinggi atau melampau di unit rawatan rapi (ICU) di 49 daripada 53 negara antara sekarang dan 1 Mac 2022’.

Kematian terkumpul yang dilaporkan diunjurkan mencecah lebih 2.2 juta menjelang musim bunga tahun depan iaitu meningkat daripada 1.5 juta angka semasa.

Beberapa faktor yang mendorong peningkatan kes di Eropah adalah gabungan varian Delta yang sangat menular, perlindungan vaksin yang tidak mencukupi dan pelonggaran langkah seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal.

Menurut data WHO, kematian berkaitan Covid-19 meningkat minggu lalu kepada hampir 4,200 sehari, dua kali ganda daripada 2,100 kematian sehari pada akhir September.

Related posts

Leave a Comment