PM sedia disiasat jika terlibat rasuah

PERMATANG PAUH 30 Jun –  Anwar Ibrahim bersedia memberi kerjasama, termasuk disiasat mana-mana pihak berkuasa sekiranya beliau didapati terlibat dalam kes rasuah.

Perdana Menteri berkata , selama tujuh bulan diberikan amanah mentadbir negara, tiada satu kepentingan pun diberikan kepada keluarganya.

“Kalau kata saya terlibat kes rasuah, gunakan wang mengayakan Wan Azizah, Nurul Izzah dan anak-anak. Itu boleh bawa (lapor kepada pihak berkuasa),” katanya ketika berucap pada kenduri korban dan solat Jumaat di Masjid Jamek An-Nur Guar Perahu, dekat sini, hari ini.

Anwar turut mengulangi kenyataan bahawa beliau tidak pernah berdendam dengan sesiapa serta mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat mana-mana individu yang terpalit dengan kes rasuah ketika ini.

“Sesiapa sahaja disiasat SPRM, itu kerja SPRM. Saya tidak arahkan kerana saya tidak mahu memfitnah.

Saya sendiri melalui liku-liku hidup yang susah. Jadi apabila ada kuasa, takkan saya nak buat kerja sebegitu (politik dendam),” katanya.

Tegas Perdana Menteri, jika mengambil tindakan sama, ia bermakna kerajaan pimpinannya sama seperti pentadbiran terdahulu. Kalau lakukannya, maknanya kita serupa sahaja,” kata Anwar.

Perdana Menteri menegaskan, beliau tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana menteri serta timbalan menteri dalam Kerajaan Perpaduan mahupun bekas menteri sekiranya mereka terlibat dalam kes rasuah.

Katanya , semua badan penguat kuasa seperti SPRM, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Bank Negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diarah menjalankan tanggungjawab dengan tegas dan berani dalam kes rasuah.

Anwar berkata, komitmennya untuk membanteras amalan rasuah diterima baik dan tidak pernah dibantah oleh setiap parti dalam Kerajaan Perpaduan, termasuk segala perancangan untuk setiap pembangunan di negara ini.

“Dalam kerajaan ada UMNO, Barisan Nasional, DAP, GRS (Gabungan Rakyat Sabah) dan GPS (Gabungan Parti Sarawak). Belum pernah saya dapat sekalipun apa-apa bantahan daripada mereka, sama ada untuk pembangunan umat Islam, tata kelola dan banteras rasuah.

“Saya dengar bantahan dari luar sahaja, tidak hadapi masalah sebab kita melakukan perbincangan. Maka berilah peluang kita mentadbir negara ini kerana ia hampir rosak. Siapa jadi menteri semua kaya-raya, itu kena tukar,” kata Anwar.

Dalam pada itu Anwar tidak terkesan dengan ugutan yang didakwanya daripada ‘geng kaya’ yang sedang berpakat untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan yang dipimpinnya.

Perdana Menteri yang tidak mendedahkan secara terperinci siapa dimaksudkan dengan ‘geng kaya’ itu tidak mempunyai masalah dengan ugutan itu dan akan terus lawan untuk mempertahankan prinsipnya demi rakyat.

“Saya tiada masalah (pakatan geng kaya) yang mana saya kini lawan tetap lawan untuk mempertahankan prinsip ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment