GPS umum calon PRN 4 Disember

MIRI 24 Nov. – Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan mengumumkan senarai nama setiap calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 pada Sabtu, 4 Disember depan.

Pengerusinya, Abang Johari Tun Openg berkata GPS telah bersedia sepenuhnya untuk berdepan dengan PRN yang akan berlangsung pada 18 Disember 2021 sesuai dengan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Kita mungkin akan mengumumkan senarai nama semua calon kita secara langsung sebelum hari penamaan calon iaitu pada 4 Disember nanti.

Katanya, GPS sememangnya sudah bersedia dan sudah menjangkakan bahawa pilihan raya akan diadakan sebelum sambutan perayaan Krismas.

Sementara itu, ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Fasa 3 Projek Perumahan Rakyat Permai Jaya di sini, beliau berkata kestabilan politik di Sarawak perlu dikekalkan agar kerajaan baharu yang dibentuk nanti akan dapat memberi fokus kepada pembangunan negeri ini.

Katanya, keutamaan untuk negeri ini pada waktu ini ialah memiliki kerajaan yang berwawasan serta komited berkhidmat untuk rakyat.

“Alhamdulillah, Kerajaan Negeri Sarawak adalah kerajaan paling stabil ketika ini. Jadi jangan rosakkan kerajaan kita.

“Pemimpin datang dan pergi. Tun Taib bersara, (Allahyarham) Adenan datang. Adenan meninggal, Abang Jo datang, dan seterusnya kumpulan ahli politik yang komited dengan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, kestabilan politik di peringkat persekutuan juga amat penting dan (kita) memerlukan kerjasama yang rapat antara dua kerajaan tersebut.

Tegasnya, kemelut politik negara yang telah tiga kali bertukar Perdana Menteri seharusnya menjadi iktibar.

Jelasnya , Sarawak sentiasa memberikan keutamaan kepada kestabilan politik sebelum menyokong mana-mana pemimpin nombor satu negara..

“Orang berkehendakkan kerajaan yang stabil. Maka Melaka menghantar mesej kepada kita. Keduanya, jangan ada budaya katak atau ‘frogging’ (lompat parti). Rakyat tak mahu, Alhamdulillah di Sarawak tidak ada banyak katak,” katanya lagi.

Related posts

Leave a Comment